KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mendedahkan terlebih dahulu laporan audit forensik yang pernah dijalankan terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebelum memutuskan untuk melaksanakan audit forensik baharu, kata penganalisis politik Datuk Eric See-To.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook hari ini bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cadangan audit forensik Felda yang akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan tidak lama lagi.
Menurut Eric, cadangan berkenaan menimbulkan persoalan kerana Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 sebelum ini sudah melantik Ernst & Young untuk menjalankan audit forensik terhadap Felda pada 2018 hingga 2019.
“Berapa kali mahu buat audit forensik ke atas Felda?
“Bukankah kerajaan PH 1.0 pernah upah Ernst & Young untuk menjalankan audit forensik ke atas Felda pada 2018-2019? Siap keluarkan Kertas Putih Felda lagi ketika itu,” tulisnya.
Beliau mempersoalkan kewajaran audit baharu dilaksanakan sekiranya laporan audit terdahulu masih belum didedahkan kepada rakyat.
“Persoalannya, apa gunanya buat audit forensik kalau akhirnya laporan audit itu sendiri tidak didedahkan kepada rakyat?,” soalnya.
Eric turut menggesa kerajaan mendedahkan terlebih dahulu laporan audit forensik membabitkan 14 pelaburan Tabung Haji yang dikatakan bermasalah dan disyorkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk disiasat.
“Jadi sebelum nak buat audit forensik Felda kali kedua, dedahkan dahulu laporan audit forensik ke atas 14 pelaburan Tabung Haji yang dikatakan bermasalah dan yang disyorkan oleh RCI untuk disiasat.
“Kita nak tengok sendiri hasilnya,” tulisnya.
Pada masa sama, beliau mahu penjelasan diberikan berhubung dakwaan Menteri Kewangan II bahawa 14 pelaburan berkenaan menyebabkan Tabung Haji mengalami kerugian sehingga RM13 bilion.
“Kita juga nak tahu sama ada benar atau tidak dakwaan Menteri Kewangan II bahawa 14 pelaburan tersebut telah menyebabkan Tabung Haji mengalami kerugian sehingga RM13 bilion,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya terus mengumumkan audit baharu sedangkan hasil audit terdahulu masih belum diketahui rakyat.
“Jangan asyik umum audit baru. Audit lama pun rakyat masih tunggu laporannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















