Anggota polis mengawal kawasan insiden kes bunuh melibatkan serangan sekumpulan lelaki menggunakan senjata tajam ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette sekitar Jalan Mandolin 33/5, Seksyen 28, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2026.

SHAH ALAM – Dua lelaki menjadi mangsa serangan sekumpulan individu dalam kejadian di Seksyen 28, di sini, hari ini.

Kejadian itu mendapat perhatian selepas rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang memaparkan insiden berkenaan tersebar di media sosial.

Menerusi rakaman tersebut, sekumpulan individu yang menaiki sebuah kereta dilihat keluar dari kenderaan sebelum menghampiri seorang lelaki yang terbaring di atas jalan.

Mangsa kemudian diserang menggunakan senjata dipercayai tajam oleh beberapa individu terbabit.

Anggota polis berjaya menangkap suspek kes bunuh melibatkan serangan sekumpulan lelaki menggunakan senjata tajam ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Jalan Mandolin 33/5, Seksyen 28, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2026.

Seorang lagi lelaki turut menjadi sasaran kumpulan berkenaan sebelum mereka dilihat beredar dari lokasi kejadian.

Rakaman itu menunjukkan serangan berlaku dengan pantas dan melibatkan beberapa individu, namun butiran lanjut mengenai bagaimana kejadian tersebut bermula masih belum diketahui.

Identiti kedua-dua mangsa juga belum dikenal pasti, manakala keadaan mereka selepas kejadian belum dapat dipastikan.

Motif serangan turut masih menjadi persoalan dan tidak dapat dipastikan sama ada kejadian berpunca daripada perselisihan faham atau mempunyai kaitan dengan perkara lain.

Seorang lelaki dipercayai maut dan seorang lagi cedera parah selepas diserang beberapa individu menggunakan senjata tajam ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di hadapan Pejabat Urusan Carsome, Jalan Mandolin 33/5, Seksyen 27, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2026.

Kejadian berkenaan dipercayai berlaku di kawasan jalan raya di Seksyen 28 sebelum rakaman tersebut tersebar dan mendapat perhatian pengguna media sosial.

Setakat laporan ini ditulis, keadaan kedua-dua mangsa serta motif serangan masih belum diketahui.

Polis dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu dalam masa terdekat bagi mengesahkan butiran serangan, termasuk keadaan mangsa dan usaha mengesan individu yang terbabit. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here