Sultan Selangor berkenan agar Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) dikibarkan di Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor, bermula pada 26 Ogos 2026 sehingga 17 September 2026, bersempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-69.

KUALA LUMPUR – Pemimpin dan ahli politik perlu menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan serta tidak menjadikan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui usaha menyatukan masyarakat dan merapatkan jurang perbezaan dalam kalangan rakyat.

“Para pemimpin dan ahli politik pula hendaklah menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan, serta tidak menjadikan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada upacara menaikkan Jalur Gemilang di Tiang Bendera Negeri Selangor, Dataran Selangor, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, Jalur Gemilang bukan sekadar bendera yang dikibarkan ketika sambutan kemerdekaan, sebaliknya lambang sebuah negara yang dimiliki dan dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.

“Walaupun kita berbeza bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang, Jalur Gemilang mengingatkan bahawa kita tetap rakyat sebuah negara yang sama.

“Bendera ini milik kita semua. Kita perlu bangga kerana ia adalah simbol perpaduan nasional,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan supaya semangat Hari Kemerdekaan diterjemahkan dengan mengenang dan menghargai jasa rakyat Malaysia yang sepanjang kehidupan mereka berusaha menyatukan masyarakat serta merapatkan jurang perbezaan.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin mahu generasi muda dididik untuk menghormati masyarakat daripada agama, kaum dan budaya berbeza.

Baginda bertitah, mengibarkan ribuan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan adalah mudah, namun tugas lebih besar adalah membina sebuah Malaysia yang rakyat daripada setiap kaum, agama dan latar belakang benar-benar berasa dihormati, diterima dan bangga menjadi rakyat Malaysia.

Baginda turut menyeru seluruh rakyat menjadikan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia sebagai kesempatan memperkukuh semula semangat perpaduan, solidariti dan saling menghormati.

“Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan dan bendera bukan sekadar untuk dikibarkan. Nilai sebenar kedua-duanya terletak pada kemampuan kita semua mempertahankan sebuah negara yang rakyatnya dapat hidup bersama dalam aman, saling menghormati dan bersatu padu,” titah baginda.

Jalur Gemilang akan dikibarkan di Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor mulai 26 Ogos hingga 17 September ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here