PENGERANG – Seluas 25 hektar atau separuh daripada keseluruhan 51.4 hektar tanah gambut yang terbakar di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove di sini sudah dipadamkan setakat pukul 10 pagi tadi.
Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba I Suhailah Hassan berkata, operasi pemadaman terus dipergiat bagi memastikan baki kawasan seluas 26.4 hektar pulih sepenuhnya.
“Kawasan seluas 10 hektar bagi sektor A dan 15 hektar bagi Sektor B berjaya dipadam setakat ini.

“Teknik pemadaman secara pemadaman secara serangan ke kawasan terbakar menggunakan dua aliran 300 dan 400 kaki, dua pancutan, dua fixed monitor daripada pam angkut dan sumber air tanker Ranhill SAJ digunakan untuk operasi di sektor A.
“Untuk Sektor B, kaedah digunakan melibagkan satu aliran 300 kaki dua pancutan, pam angkut dan air daripada tanler Ranhill SAJ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada nyalaan baharu dikesan dan kejadian tersebut juga tidak melibatkan mangsa.

“Bagaimanapun, tiupan angin agak kuat ketika ini memberi cabaran kepada bomba untuk memadamkan kebakaran,” katanya.
Operasi pemadaman ketika ini melibatkan 25 anggota bomba, 14 pegawai Ranhill SAJ dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), katanya.
Menurut beliau, dron juga digunakan bagi melakukan pemantauan dan mengesan lokasi nyalaan baharu.- MalaysiaGazette
















