KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM1.097 juta bagi kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Timbalan Presiden MIC itu memohon dibicarakan selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Saya faham pertuduhan dan tidak mengaku Puan,” kata Ahli Parlimen Tapah itu dengan tenang ketika berdiri di dalam kandang tertuduh dalam mahkamah yang penuh sesak dengan para penyokong yang berkumpul sejak awal lagi.

Mengikut semua pertuduhan, Saravanan, 58, didakwa menerima suapan wang tunai RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38.
Wang RM597,000 itu diterima melalui satu cek yang didepositkan ke akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.
Ia sebagai dorongan dan upah tertuduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Sumber Manusia, memberikan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.
Kesalahan didakwa dilakukan di tiga tempat berasingan iaitu di sebuah pusat peranginan golf di sini, di Jalan Telawi 3, Bangsar dan di sebuah bank Cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa, pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Ia membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Turut hadir mengikuti prosiding berkenaan ialah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan isteri Saravanan, Datin Seri Kavitha Vivekanandan.
Azura membenarkan Saravanan diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin warganegara dan menetapkan 29 September ini bagi sebutan kes.
Mahkamah turut memerintahkan syarat tambahan dipatuhi oleh tertuduh iaitu melapor diri ke pejabat SPRM berdekatan setiap tiga bulan sekali dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sama ada secara langsung atau menerusi pihak ketiga.
Meskipun berstatus tertuduh, bekas menteri itu bebas ke luar negara selepas hakim tidak mengeluarkan sebarang perintah terhadap penahanan pasportnya. – MalaysiaGazette
















