PUTRAJAYA – Daripada memilih lokasi terbaik, merancang pengangkutan dan parkir hinggalah menyediakan tikar, kipas mini serta bekalan makanan, warga maya rancak berkongsi tip dan pengalaman sebagai panduan kepada mereka yang mahu menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, di sini esok.
Tinjauan Bernama di platform Threads mendapati pelbagai perkongsian itu rancak diperkatakan khususnya dalam kalangan mereka yang pertama kali mahu menyaksikan sendiri kemeriahan sambutan berkenaan.
Tidak terkecuali pencipta kandungan Che Sayang Kitchen atau nama sebenarnya Qayyum Halid yang turut mendapatkan pandangan warga maya mengenai penginapan, parkir serta lokasi strategik untuk menyaksikan perarakan itu, dengan pertanyaannya menerima lebih 99 komen yang sarat dengan pelbagai tip dan pengalaman.
Menjawab persoalan sedemikian, mereka yang pernah menyaksikan sambutan itu pada tahun-tahun sebelumnya pula tidak lokek berkongsi petua, daripada kepentingan tiba lebih awal dan memilih lokasi strategik hinggalah persediaan bagi mereka yang membawa anak kecil.
Pengguna Threads @_sakurapurple berkata beliau tidak pernah ketinggalan menghadiri sambutan itu sebelum ini dan kebiasaannya tiba bersama keluarga pada petang 30 Ogos dengan membawa tikar, payung serta keperluan anak sebelum bermalam di lokasi.
Sementara itu, pengguna Threads @_iburumiarya yang juga penduduk Putrajaya mengesyorkan mereka yang bercadang bermalam di dalam kenderaan supaya memilih lokasi yang selamat seperti di sekitar bawah Jambatan Seri Wawasan, Presint 8.
“Boleh (aplikasi) Waze Sekolah Kebangsaan Presint 8 (2), nanti berhadapan pintu utama ada tanah lapang yang boleh parkir kereta. Sini pun kemudahan berdekatan, semua walking distance (jarak berjalan). Kemudian boleh rehat sampai subuh, kemudiannya boleh mula jalan kaki sahaja dari jambatan itu menuju bangunan ANM (Jabatan Akauntan Negara Malaysia).
“Kalau rajin, boleh saja jalan pergi pentas utama. Tetapi, kalau bawa anak kecil, tengok dari depan bangunan ANM itu pun dah okey, tambah banyak kerusi dan ada banyak kios makanan,” katanya.
Dalam pada itu, aspek persediaan untuk menunaikan ibadah turut tidak dilupakan apabila ada “warga Threads” mengingatkan pengunjung beragama Islam supaya membawa kelengkapan seperti semburan wuduk dan sejadah bagi memudahkan mereka menunaikan solat sepanjang berada di lokasi sambutan.
Bagi mereka yang memilih untuk hadir pada hari sambutan, warga maya turut menyarankan supaya perjalanan dirancang lebih awal dengan mengambil kira keadaan trafik, lokasi parkir serta jarak berjalan kaki ke kawasan perarakan.
Pelbagai tip dan pengalaman yang dikongsikan itu bukan sahaja membantu mereka yang pertama kali mahu menyaksikan perarakan secara langsung, bahkan menggambarkan keterujaan orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” itu dijadual bermula 8 pagi, dengan lebih 80,000 pengunjung dijangka hadir bagi menyemarakkan hari bersejarah itu.- BERNAMA
















