Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melaungkan Merdeka sebaik jam tepat 12 tengah malam pada sambutan Ambang Merdeka di Dataran 1 Malaysia, Klebang, Melaka malam tadi.

MELAKA – Sambutan Ambang Merdeka peringkat negeri Melaka berlangsung penuh semangat patriotik dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung membanjiri Dataran 1 Malaysia, Klebang di sini malam tadi.

Orang ramai mula membanjiri dataran berkenaan seawal jam 8 malam, apabila mereka tidak mahu melepaskan peluang menyertai kiraan detik kemerdekaan tepat jam 12 tengah malam.

Majlis dimulakan dengan persembahan yang menampilkan lagu-lagu patriotik yang membangkitkan rasa cinta pada negara.

Persembahan turut menampilkan penyanyi terkenal yang juga anak kelahiran Melaka, Datuk Ziana Zain yang baharu menerima pingat kebesaran sempena harijadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama isteri, Datuk Zuriyah Abdul Aziz tiba di dataran berkenaan pada jam 10.15 malam.

Saat dinantikan pengunjung apabila Ab Rauf mengira detik 12 malam sambil disambut laungan merdeka.

Ia diikuti dengan pertunjukan bunga api sambil diiringi lagu-lagu patriotik.

Sementara itu dalam ucapannya, Ab Rauf menegaskan, kemerdekaan bukan sekadar untuk menyambutnya setiap tahun sebaliknya perlu dihayati dan dipertahankan.

Sebagai sebuah negeri yang berbilang kaum, katanya, perpaduan adalah kunci utama dalam memahami erti kemerdekaan.

“Melaka terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, portugis dan ceti dan jangan kerana perbezaan pandangan, kita meruntuhkan apa yang mengambil masa begitu lama untuk dibina,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here