Gambar hiasan

TIDAK pernah terlintas dalam hidup saya untuk berkhidmat sebagai pendidik di luar negara. Selama bertahun-tahun, medan perjuangan saya hanyalah di tanah air. Namun, apabila Universiti Malaya (UM) memberikan kepercayaan untuk bertugas di China, saya menyahut amanah itu dengan hati terbuka.

Perjalanan ini bukan sekadar meninggalkan Malaysia untuk mengajar di negara asing. Ia adalah langkah keluar dari zon selesa, belajar menyesuaikan diri dengan budaya baharu, cuaca berbeza, dan rutin yang tidak lagi biasa.

Saya tiba ketika musim luruh bermula. Dulu, musim ini hanya saya nikmati sebagai pelancong: memilih pakaian cantik, mengambil gambar, menikmati udara sejuk, lalu kembali ke keselesaan rumah. Tetapi tinggal di negara empat musim mengubah segalanya. Realitinya tidak semudah itu.

Apabila suhu malam jatuh bawah 10 darjah Celsius, banyak perkara perlu diberi perhatian. Bukan sekadar pakaian tebal atau makanan sesuai, malah penjagaan diri menjadi keutamaan supaya tubuh kekal sihat. Persediaan awal, termasuk suntikan vaksin, amat penting terutama di tempat asing jauh dari sistem sokongan biasa.

Dalam keadaan inilah saya sedar bahawa keberanian berhijrah tidak bermakna kita perlu melalui semuanya sendirian. Saya bernasib baik mempunyai enam rakan seperjuangan di bumi asing ini. Tujuh orang kami datang dengan latar belakang berbeza, namun dipertemukan oleh satu amanah sama. Kehadiran mereka menjadikan tempat asing terasa sedikit lebih dekat dengan rumah.

Di sinilah pentingnya semangat kerja berpasukan. Mengurus kehidupan dan tugas di negara asing memerlukan kerjasama tinggi. Kami juga bersyukur mendapat bantuan wakil universiti yang sangat memahami dan sentiasa memberikan sokongan. Dari dokumentasi, tempat tinggal, pembelian barang keperluan, hingga urusan pelajar dan peribadi, bantuan diberikan dari A hingga Z.

Namun, yang paling besar nilainya bukan sekadar bantuan urusan rasmi. Yang menguatkan kami ialah ukhuwah sesama sendiri. Setiap kali ada yang memerlukan bantuan, kami saling membantu. Ada yang mencari keperluan rumah, ada yang menguruskan makanan, ada yang membantu menyelesaikan urusan tertentu, dan ada yang sekadar menjadi tempat berkongsi cerita apabila rindu keluarga mula terasa. Kami belajar menyediakan banyak perkara bersama, berkongsi tanggungjawab, dan memastikan tiada siapa berasa keseorangan. Semangat kebersamaan itulah yang menjadikan perantauan ini lebih bermakna.

Kenangan paling manis ialah menyambut Hari Raya di perantauan. Di tengah keterbatasan, kami bersatu hati menghidupkan semula roh raya kampung halaman. Dapur kecil bertukar menjadi medan perjuangan masakan. Rendang ayam direneh dengan sabar dari bahan yang diusahakan dengan seribu satu cara. Tidak ketinggalan, eksperimen kreatif membuat lemang dalam cawan kertas berpandukan resipi Khairulaming. Alhamdulillah, hasilnya menjadi. Kuah kacang dikacau perlahan dengan ketelitian, dari proses menggoreng bahan hingga mencapai kepekatan sempurna dan rasa yang menjemput kenangan masakan ibu.

Yang lebih bermakna, kami menjemput rakan-rakan dari negara lain untuk turut sama merayakan hari istimewa ini. Mereka datang dengan rasa ingin tahu apa itu Hari Raya dan mengapa ia begitu istimewa bagi kami. Kami memperkenalkan erti raya: bulan Syawal, maaf-memaafkan, dan berkumpul bersama orang tersayang. Dengan wajah penuh keterujaan, mereka mencuba rendang, lemang, dan kuah kacang yang kami masak. Reaksi mereka tidak dapat dilupakan. Momen itu bukan sekadar berkongsi makanan, tetapi berkongsi budaya, nilai, dan identiti Malaysia dengan dunia.

Sukar menghidangkan rasa asal Malaysia di China kerana kekangan bahan. Namun, sebaik makanan terhidang, kami faham bahawa rumah itu bukan tempat, tetapi usaha kita membawa identiti tanah air ke mana sahaja. Dengan berbaju kurung, baju Melayu, dan batik, kami memindahkan suasana raya tanah air ke tengah bumi asing.

Cintakan Malaysia bukan hanya tentang melaungkan Merdeka setiap Ogos. Cinta kepada negara terserlah dalam cara kita membawa nama Malaysia di luar negara. Ia hidup dalam bahasa yang kita pertahankan, makanan yang kita rindui, pakaian yang kita banggakan, dan nilai harmoni yang kita tunjukkan kepada masyarakat dunia. Lebih daripada itu, kehadiran kami yang berbeza latar belakang, bangsa, dan agama, hidup rukun tanpa sebarang sifat perkauman, adalah manifestasi indah jiwa perpaduan dan keharmonian Malaysia.

Di tanah air, kita mungkin terlalu biasa dengan nasi lemak, roti canai, suara azan, dan kemeriahan Raya sehingga terlupa nilainya. Namun, apabila berada beribu-ribu kilometer jauhnya, perkara-perkara kecil itulah yang paling dirindui. Jauh di perantauan, semangat Malaysia terasa semakin dekat di hati. Sehelai baju batik, sebungkus rempah Babas, sepinggan mi goreng mamak, lagu-lagu patriotik yang dulu hanya didengar ketika Bulan Kebangsaan, kini mempunyai makna yang jauh lebih mendalam.

Kepercayaan UM untuk saya berkhidmat di China bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam kerjaya, malah memberikan pengalaman hidup yang tidak mungkin saya peroleh sekiranya terus berada dalam zon selesa. Saya belajar tentang keberanian, kesabaran, penyesuaian diri, dan yang paling penting, nilai kebersamaan.

Di bumi asing ini, kami membawa amanah sebagai pendidik. Namun, dalam masa yang sama, kami juga membawa identiti sebagai rakyat Malaysia. Dan mungkin itulah makna sebenar kemerdekaan bagi saya. Sejauh mana pun langkah membawa kita pergi, kita tetap tahu dari mana kita datang, menghargai siapa diri kita, dan terus membawa semangat Malaysia ke mana sahaja kita berada.

Malaysia bukan sekadar tempat kita dilahirkan. Malaysia adalah sebahagian daripada jiwa yang kita bawa, walau di mana pun kita berada.

Oleh: Laili Marlina Khaidir

Pensyarah Asasi (Fizik) di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM)

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here