KUALA LUMPUR – Kenaikan semula kuota petrol RON95 bersubsidi di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) dari 200 kepada 300 liter sebulan mulai esok, menimbulkan kemusykilan dalam kalangan rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, ia menimbulkan persoalan berkenaan sejauh mana keputusan itu benar-benar didorong keperluan rakyat atau sekadar ‘gula-gula politik’ susulan keputusan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) yang tidak memihak kepada kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini memberikan alasan tertentu bagi pengurangan kuota, termasuk keadaan pasaran minyak dunia susulan perang dan sekatan di Selat Hormuz.
“Tidak sampai lima bulan BUDI95 dinaikkan semula, kenapa? Sudah terang lagi bersuluh, semua pasti tahu disebabkan kekalahan teruk di dua PRN yang diadakan dalam tempoh lima bulan sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Hari Kebangsaan ke-69 mengumumkan kerajaan bersetuju mengembalikan had kelayakan asas subsidi petrol BUDI95 hingga 300 liter sebulan.
Menurut Perdana Menteri, langkah itu akan memberi manfaat kepada lebih 16 juta rakyat yang menggunakan RON95 bersubsidi dan ia berkuat kuasa esok.
Gulam Muszaffar turut mempersoalkan penjelasan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat yang mempertahankan pengurangan kuota kepada 200 liter sebelum ini masih relevan dengan keputusan kerajaan itu.
“Pelik dan adakah apa yang dijelaskan oleh Menteri Kewangan II di Dewan Rakyat menipu dan bagi menghalalkan penurunan kuota ke 200 liter sebelum ini?
“Jika keadaan pasaran minyak dan faktor penggunaan menjadi asas kepada keputusan mengurangkan kuota sebelum ini.
“Kerajaan perlu menjelaskan apakah perubahan yang berlaku sehingga kuota berkenaan boleh dinaikkan semula dalam tempoh begitu singkat,” katanya.
Menurutnya, perubahan dasar yang terlalu pantas bukan sahaja mengundang persoalan mengenai kredibiliti dasar subsidi, malah boleh menguatkan persepsi bahawa keputusan itu dipengaruhi kepentingan politik semasa.
Dalam masa sama, Gulam Muszaffar mengingatkan kerajaan supaya tidak melihat penambahan kuota BUDI95 sebagai penyelesaian kepada keseluruhan masalah kos sara hidup.
Katanya, tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat jauh lebih besar dan berpunca daripada rantaian kenaikan kos yang melibatkan pelbagai komponen.
“Harga barang yang meningkat disebabkan rantaian faktor seperti harga elektrik, harga bahan bakar tanpa BUDI, SST lapan peratus yang menjadikan kehidupan rakyat amat tertekan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat memerlukan dasar ekonomi yang stabil dan boleh dijangka, bukannya keputusan yang berubah-ubah mengikut keadaan politik.
“Dalam urusan mengurus mikro ekonomi rakyat, kerajaan perlu ada pengurusan dasar yang konsisten, bukan sekejap naik, sekejap turun, tukar berulang kali, pinda dan ubah sesuka hati ikut selera dan tekak politik dan dijadikan ‘gula-gula’ politik.
“Keikhlasan sebenar untuk menjaga kebajikan rakyat tiada sebenarnya,” katanya.
Gulam Muszaffar berkata, kerajaan perlu membuktikan keputusan itu dibuat atas pertimbangan ekonomi dan kebajikan rakyat, bukannya untuk meredakan kemarahan atau mengembalikan keyakinan pengundi selepas keputusan pilihan raya.
“Pesan dan nasihat saya buat rakyat, pengambilan ‘gula’ berlebihan adalah sangat membahayakan kepada kesihatan. Hati-hati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















