Perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” ketika di Dataran Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 31 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi hari ini tampil menjelaskan isu kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini yang mengundang tanda-tanya mengapa bekas perdana menteri itu tidak dijemput.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, berdasarkan pengesahan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri, terdapat tatacara pengurusan jemputan yang berkuat kuasa bagi Sambutan Hari Kebangsaan.

“Berdasarkan amalan sejak tahun 2018, jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada mantan Perdana Menteri.

“Walau bagaimanapun, kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan, selaras dengan tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Halim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 berkata demikian bagi menjelaskan persoalan mengenai kehadiran Dr Mahathir pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pagi tadi.

Beliau berkata, pihak urus setia turut menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri bahawa Dr Mahathir akan ke luar negara dari 28 hingga 31 Ogos 2026.

Menurutnya, perkara itu berdasarkan permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara yang telah diterima dan diluluskan Perdana Menteri, selaras dengan ketentuan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here