Dakwaan Pertandingan Miss Equality World 2026 berlangsung di Pulau Pinang tidak benar.

GEORGE TOWN – Pertandingan Miss Equality World 2026 yang tular selepas rakaman seorang peserta membawa nama Malaysia tersebar di media sosial sebenarnya berlangsung di Bangkok, Thailand, dan bukannya di Pulau Pinang, kata Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman.

Beliau berkata, berdasarkan semakan terhadap maklumat rasmi penganjur, pertandingan berkenaan berlangsung pada 22 hingga 30 Ogos lalu di Bangkok, Thailand.

Katanya, penganjur turut menyenaraikan seorang peserta yang membawa nama Malaysia, namun perkara itu tidak bermaksud individu berkenaan adalah wakil rasmi Kerajaan.

“Pembetulan ini penting. Islam menuntut kita berlaku adil terhadap fakta sekalipun terhadap perkara yang kita tentang,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, dari sudut syarak, Islam mempunyai pendirian yang jelas mengenai seseorang yang sengaja menyerupai atau mengubah dirinya kepada jantina yang berlawanan.

Beliau memetik hadis daripada Ibn Abbas yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.

“Ini berbeza dengan khunsa atau intersex, yang melibatkan keadaan biologi tertentu dan memerlukan penilaian pakar bagi menentukan jantina sebenar.

“Justeru, bagi seseorang yang telah jelas jantina biologinya, tindakan sengaja menukar jantina atau membina identiti sebagai jantina yang berlawanan adalah bercanggah dengan syariat,” katanya.

Beliau berkata, perkara yang lebih membimbangkan bukan sekadar tindakan individu, tetapi apabila budaya LGBTQ mula dipromosi, diraikan dan dinormalisasikan, khususnya kepada generasi muda.

Katanya, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

“Atas nama toleransi, jangan sampai perkara yang ditegah agama dianggap biasa. Atas nama kebebasan pula, jangan sampai batas halal dan haram diketepikan.

“Menghormati manusia tidak bermaksud kita wajib mengiktiraf setiap perbuatannya. Bersikap rahmah tidak bermaksud kita perlu menghalalkan apa yang Allah haramkan,” katanya.

Mohd Sukki berkata, umat Islam terikat dengan syariat di mana sahaja berada dan sesuatu yang haram tidak menjadi halal hanya kerana dilakukan di luar negara atau diterima masyarakat lain.

“Mereka yang mempunyai pengaruh juga perlu lebih bertanggungjawab. Jangan gunakan pentas, media sosial, kedudukan atau populariti untuk menjadikan perkara yang bertentangan dengan agama sebagai sesuatu yang menarik untuk dicontohi.

“Dari sudut undang-undang Malaysia, terdapat peruntukan Syariah negeri-negeri yang mengawal perlakuan tertentu berkaitan lelaki yang menyerupai atau berlagak seperti wanita, tertakluk kepada peruntukan dan bidang kuasa negeri masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, hukum syarak perlu dibezakan dengan kesalahan jenayah kerana sesuatu pendakwaan bergantung kepada peruntukan undang-undang, lokasi, bidang kuasa dan pembuktian.

“Apatah lagi pertandingan yang sedang diperkatakan ini berlangsung di Thailand.

“Oleh itu, masyarakat jangan mengambil undang-undang ke tangan sendiri. Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, serahkan kepada pihak berautoriti untuk menilai dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, ketegasan terhadap LGBTQ tidak bermaksud Islam mengajar umatnya membenci, menghina atau menzalimi individu yang terlibat.

“Kepada Muslim yang sedang terlibat atau bergelut dengan perkara ini, jangan jadikan dosa sebagai identiti sehingga merasakan tiada lagi jalan pulang kepada Allah.

“Allah SWT berfirman dalam Surah al-Zumar ayat 53 yang bermaksud: ‘Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.’

“Kembalilah kepada Allah. Carilah bimbingan dan bantuan. Keluarga serta masyarakat pula hendaklah membantu mereka kembali, bukannya menghina sehingga mereka semakin jauh,” katanya.

Mohd Sukki berkata, pendirian umat Islam mesti jelas iaitu menolak normalisasi LGBTQ, tetapi tidak menzalimi manusia, selain tegas mengatakan perkara yang haram tetap haram tanpa menutup pintu taubat.

“Dalam dunia yang semakin berubah, umat Islam jangan kehilangan kompas agama hanya kerana tekanan budaya dan perubahan zaman.

“Apa yang popular tidak semestinya benar. Apa yang diraikan manusia tidak semestinya diredai Allah.

“Tegaslah pada prinsip, berhikmahlah dalam berdakwah dan peliharalah generasi daripada normalisasi perkara yang bertentangan dengan syariat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here