PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari mengakui berlaku sedikit kelompangan komunikasi antara pihak berkaitan yang menyebabkan polemik membabitkan Datuk Azizulhasni Awang tercetus.
Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun telah diselesaikan secara dalaman bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan pihak berkaitan.
Taufiq berkata, beliau sengaja mengambil pendekatan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas isu berkenaan tercetus kerana mahu mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Sebagai pemimpin sudah pasti kita nak mencari jalan tengah. Kita nak mencari yang terbaik.
“Kita tidak boleh pick side ataupun kita tidak boleh memilih siapa yang betul dan siapa yang salah,” katanya pada sidang media di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, Azizulhasni setibanya ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Sukan Komanwel Glasgow 2026 berkata, atlet berkenaan menyerahkan kepada MSN dan KBS untuk menentukan langkah seterusnya.
Dalam pada itu, Taufiq berkata, pada 13 Ogos beliau telah mengarahkan MSN menilai perkara itu dan keputusan dibuat supaya Azizulhasni meneruskan misi mewakili negara ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Pada 13 Ogos lalu arahan saya dikeluarkan, kemudian surat tawaran itu dikeluarkan dua hari lepas. Mungkin ada kelompangan waktu tersebut yang menyebabkan beberapa perkara dan isu ini berbangkit,” katanya.
Beliau mengakui cara beliau mengambil tanggungjawab mungkin mempunyai sedikit salah faham dari segi komunikasi, namun menegaskan perkara itu telah diselesaikan.
“Saya mengambil tanggungjawab terhadap sebarang kelemahan komunikasi dan berjanji memastikan perkara sama tidak berulang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















