SERDANG – Sebanyak 14 pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai keseluruhan RM1.49 bilion menjadi antara pencapaian utama pada pembukaan MAHA Trade Days 2026, hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur dan rakan strategik terhadap potensi serta prospek sektor agromakanan Malaysia di peringkat global.
Menurutnya, nilai RM1.49 bilion yang direkodkan pada hari pertama itu merupakan sebahagian daripada sasaran keseluruhan RM8 bilion bagi nilai pelaburan dan perdagangan MAHA 2026.
Tambahnya, jumlah berkenaan berpotensi melepasi sasaran RM8 bilion susulan masih banyak pertukaran MoU akan berlangsung sehingga 6 September ini, kata beliau semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (Mou) Bersempena Maha Trade Days 2026 di MAEPS, Serdang pagi tadi.
Mohamad berkata, kerajaan mahu produk agromakanan Malaysia dipasarkan dengan lebih meluas di peringkat antarabangsa, termasuk meneroka peluang pasaran di Afrika.
Katanya, usaha itu penting bagi membolehkan petani dan pengusaha makanan tempatan meningkatkan pemasaran produk mereka di pasaran global.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut menubuhkan Agriculture Atachi di Uzbekistan bagi membantu memasarkan produk pertanian Malaysia ke negara-negara sekitar Asia Tengah.
Menurutnya, antara produk tempatan yang mempunyai potensi untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa termasuk kopi, koko, nanas dan durian termasuk produk hiliran.
Sementara itu, daripada keseluruhan 14 MoU yang ditukar, kerjasama terbesar bernilai RM1.03 bilion melibatkan pembangunan kilang pemprosesan nanas di Miri, Sarawak.
MAHA Trade Days 2026 berlangsung dari 1 hingga 3 September di Dewan A dan B, MAEPS, Serdang, dengan menghimpunkan hampir 2,000 pempamer serta 40 pembeli antarabangsa. – MalaysiaGazette
















