Dennis Lim (tengah) bersama polis Thailand menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Sindiket pengedaran dadah rentas sempadan Malaysia-Thailand tumpas selepas polis merampas 252.2 kilogram (kg) methamphetamine hasil kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kejayaan itu hasil kerjasama strategik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan Police Narcotics Suppression Bureau (PNSB), Royal Thai Police.

Menurut beliau, Polis Daerah Hua Hin, Wilayah Prachuap Khiri Khan, Thailand menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan dalam sekatan jalan raya sebelum menahan seorang lelaki warga Malaysia, pada 8 Ogos lalu.

Dennis Lim.

“Hasil pemeriksaan menemukan 166kg dadah disyaki jenis methamphetamine yang kemudiannya diserahkan kepada PNSB untuk siasatan lanjut.

“Bertindak atas siasatan PNSB membawa kepada perkongsian maklumat risikan dengan JSJN Bukit Aman berhubung penglibatan ahli sindiket yang dipercayai menggunakan kenderaan untuk membawa dan menyembunyikan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dennis Lim berkata, berdasarkan maklumat itu, JSJN melancarkan Op Zoraptera di Selangor dan Pulau Pinang yang membawa kepada penahanan empat suspek, terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 19 hingga 25 tahun, termasuk sepasang suami isteri.

“Sebanyak 166kg dadah dirampas di Thailand manakala 86.2kg di Malaysia, sekali gus jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 252.2kg manakala nilai dadah yang dirampas di Malaysia dianggarkan RM4.31 juta.

“Selain tindakan penguatkuasaan terhadap ahli sindiket, JSJN turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita lima kenderaan pelbagai jenis bernilai RM420,700.

“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan operasi di Pulau Pinang dan Selangor itu berjumlah RM4.73 juta,” katanya.

Dennis Lim menunjukkan kereta yang diubah suai sindiket untuk menyembunyikan dadah tersebut.

Mengulas lanjut Dennis Lim berkata, siasatan mendapati kesemua suspek dipercayai bekerja sebagai transporter dan masing-masing menerima upah RM6,000 bagi setiap satu perjalanan membawa dadah.

“Sindiket itu dipercayai aktif sejak Jun tahun lalu dan menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan menyediakan ruang khas atau kompartmen tersembunyi untuk menyimpan serta mengangkut dadah.

“Modus operandi sindiket ialah mengubah suai bahagian belakang kenderaan dengan memendekkan ruang but dan mengubah kedudukan kerusi penumpang belakang.

“Apabila kerusi diturunkan, terdapat ruang khas yang dijadikan tempat menyimpan dadah sebelum dibawa untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here