PADA 30 Mei 2018, saya pernah menulis di The Malaysian Insight sebuah rencana bertajuk “Hindraf harus waspada, UiTM harus balik ke akar”, susulan cadangan Hindraf 2.0 supaya universiti awam termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) dipertimbangkan untuk dibuka kepada bukan Bumiputera.
Lapan tahun telah berlalu sejak tulisan itu. Dalam tempoh tersebut tentunya banyak perkara telah berubah, termasuk sebahagian daripada pandangan dan pemikiran saya sendiri tentang politik, masyarakat dan negara.
Namun apabila saya membaca semula tulisan tersebut sempena sambutan kemerdekaan tahun ini, saya bertanya kepada diri sendiri sama ada setelah lapan tahun, saya masih percaya kepada apa yang saya tulis ketika berusia 25 tahun itu.
Dalam soal UiTM, jawapan saya masih tetap sama.
Tanpa bersikap apologetik, saya masih percaya bahawa UiTM harus kekal sebagai sebuah institusi yang memberikan pendidikan khusus kepada Melayu dan Bumiputera sebagaimana falsafah asal penubuhannya.
Saya akui mempunyai hubungan yang cukup sentimental dengan institusi ini. Perjalanan saya di UiTM bermula dengan Asasi Undang-Undang di UiTM Kuantan, diteruskan dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) di UiTM Shah Alam dan sebaik sahaja menamatkan pengajian, saya terus menyambung Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan (DLSA) ketika masih menjalani latihan dalam kamar.
Bertahun-tahun lamanya kehidupan saya sebagai seorang mahasiswa, dan kemudiannya sebagai seorang peguam muda, dibentuk di universiti ini. Pendek kata, kalau hendak dikatakan saya ini seorang UiTM sejati, saya menerimanya dengan senang hati.
Namun, mempertahankan UiTM tidak boleh bersandarkan sentimen semata-mata.
Kedudukan UiTM mempunyai sejarah dan rasionalnya tersendiri. Malah Seksyen 1A Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) sendiri secara nyata menghubungkan penubuhan universiti tersebut dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Menariknya, perbahasan sama yang kita dengar pada hari ini sebenarnya bukan perkara baharu.
Ketika Rang Undang-Undang Institut Teknologi MARA dibahaskan di Dewan Rakyat pada 13 April 1976, persoalan yang hampir sama telah dibangkitkan hampir 50 tahun lalu.
Dr Tan Chee Khoon, Ahli Parlimen Kepong; Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kota Melaka dan Lim Kiam Hoon, Ahli Parlimen Padang Serai antara yang berhujah supaya ITM dibuka kepada semua warganegara, antaranya atas alasan perpaduan nasional.
Namun antara jawapan paling keras datang daripada Ahli Parlimen Balik Pulau, Shamsuri Md. Salleh.
Beliau menyifatkan apa yang diberikan kepada ITM ketika itu sebagai terlalu kecil. Jika dinilai dengan emas, katanya, emas itu hanyalah “sesaga”. Jika dinilai dengan tanah, tanah itu tidak lebih daripada “sebesar kelangkang kera”.
Bahasanya mungkin keras. Tetapi gambaran itu penting untuk memahami bagaimana generasi pada waktu tersebut melihat ITM. Bagi mereka, ITM bukan sebuah kemewahan besar yang sedang dipertahankan. Dalam keadaan orang Melayu masih jauh ketinggalan dalam pendidikan tinggi dan bidang profesional, itulah emas sesaga dan tanah sekangkang kera yang mereka ada untuk membina generasi seterusnya.
Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran turut menolak cadangan tersebut. Dalam penggulungannya, beliau antara lain mempersoalkan mengapa tuntutan perpaduan perlu diletakkan kepada ITM sedangkan pada masa yang sama tuntutan untuk mempertahankan dan memperluaskan sekolah aliran Mandarin dan Tamil turut dibuat.
Hampir setengah abad kemudian, kita sebenarnya masih berdebat tentang persoalan yang hampir sama.
Pada hemat saya, kesilapan terbesar apabila membicarakan UiTM adalah apabila kita memisahkan institusi itu daripada sejarah yang menyebabkan ia diwujudkan.
Kemerdekaan pada tahun 1957 memberikan kita sebuah negara yang merdeka, tetapi kemerdekaan tidak dengan sendirinya menghapuskan ketidakseimbangan pendidikan, ekonomi dan penyertaan dalam bidang profesional yang diwarisi sebelumnya.
RIDA, kemudian MARA, ITM dan akhirnya UiTM merupakan sebahagian daripada usaha negara untuk memperbaiki ketidakseimbangan tersebut.
Justeru, saya tidak melihat kewujudan UiTM sebagai suatu penafian terhadap hak kaum lain ataupun sesuatu yang bertentangan dengan cita-cita membina Malaysia yang adil untuk semua.
Keadilan tidak semestinya bermaksud setiap orang mesti diberikan perkara yang sama dalam setiap keadaan. Dalam sebuah masyarakat yang mempunyai titik permulaan yang berbeza, kadangkala sesuatu yang berbeza perlu dilakukan untuk mencapai keadaan yang lebih seimbang.
Namun pendirian ini tidak bermakna keresahan atau kemiskinan masyarakat lain harus diketepikan.
Malah dalam tulisan saya pada tahun 2018, ketika menolak tuntutan Hindraf 2.0, saya turut menulis bahawa tuntutan kaum lain wajar dibincangkan dan dipertimbangkan menurut keperluan semasa. Saya secara khusus menyebut bahawa masalah kemiskinan dalam kalangan masyarakat India sebagaimana dibangkitkan ketika itu wajar dikaji.
Saya masih percaya kepada pendirian tersebut.
Saya tidak menafikan bahawa kemiskinan dan ketidaksamaan peluang turut wujud dalam kalangan masyarakat India dan Cina. Mereka juga berhak mendapat perhatian dan pembelaan daripada negara. Tetapi mengakui masalah tersebut tidak bererti saya harus bersetuju bahawa membuka UiTM kepada bukan bumiputera adalah penyelesaiannya.
Saya percaya bahawa negara tetap mempunyai kewajipan untuk memastikan mereka mendapat pendidikan dan peluang untuk mengubah kehidupan masing-masing.
Dalam masa yang sama, saya menyokong langkah UiTM pada hari ini untuk kembali memberikan tumpuan kepada pendidikan Melayu dan bumiputera, khususnya golongan B40, orang asli serta bumiputera Sabah dan Sarawak.
Namun, sebagaimana yang saya tulis lapan tahun dahulu, mempertahankan kedudukan UiTM hanyalah separuh daripada persoalannya. Separuh lagi ialah sama ada UiTM sendiri masih setia kepada akar penubuhannya.
Pada tahun 2018 saya menulis bahawa kita tidak mahu wujud senario apabila UiTM dipenuhi oleh mahasiswa yang “jalan berkepak dan gah dengan kereta mewah pemberian papa dan mama”.
Lapan tahun kemudian, saya masih berpegang kepada maksud di sebalik sindiran tersebut.
Saya tidak mempunyai masalah dengan orang kaya. Kekayaan bukan suatu dosa dan anak orang berada juga mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik. Tetapi jika sesebuah keluarga mempunyai kemampuan untuk menghantar anaknya ke universiti swasta terbaik, malah mungkin ke universiti di luar negara, kita harus berani bertanya apakah mereka benar-benar merupakan kelompok yang paling memerlukan tempat yang diwujudkan melalui suatu dasar tindakan afirmatif.
Jika tempatnya terhad, bukankah nilainya jauh lebih besar apabila diberikan kepada anak peneroka, anak petani, anak nelayan, anak pekerja kilang, anak keluarga berpendapatan rendah atau seorang anak dari pedalaman Sabah dan Sarawak yang mungkin menjadi orang pertama dalam keluarganya menjejakkan kaki ke universiti?
Seandainya benar yang kita pertahankan itu hanyalah emas sesaga dan tanah sekangkang kera, maka lebih besarlah tanggungjawab kita memastikan mereka yang paling memerlukan mendapat tempat di atas tanah yang kecil itu.
Inilah yang saya maksudkan apabila mengatakan UiTM harus kembali kepada akar.
UiTM tidak seharusnya menjadi sekadar sebuah universiti dengan kos yang rendah untuk bumiputera yang sebenarnya mempunyai seribu satu pilihan lain. UiTM harus kekal sebagai salah satu tangga mobiliti sosial terbesar negara, tempat seorang anak yang lahir tanpa banyak kelebihan diberikan peluang untuk mengubah bukan sahaja kehidupannya, tetapi kedudukan seluruh keluarganya untuk generasi yang berikutnya.
Jika sebuah tempat di UiTM boleh menjadi perbezaan antara seorang anak miskin terus mewarisi kemiskinan keluarganya atau menjadi graduan pertama dalam keluarga, pada hemat saya di situlah dasar ini mempunyai makna yang paling besar.
Bezanya, jika pada suatu ketika dahulu kita mempertahankan UiTM berdasarkan suatu cita-cita, pada hari ini kita sudah mempunyai hasilnya.
Produk UiTM bukan lagi suatu retorik. Generasi keluarannya telah berada dalam bidang perundangan, perubatan, kejuruteraan, akademik, perkhidmatan awam, korporat dan perniagaan.
Saya fikir sebuah institusi yang dahulunya diwujudkan untuk membuka jalan kepada suatu masyarakat yang ketinggalan telah membantu melahirkan suatu kelas profesional Bumiputera yang kini menjadi sebahagian daripada wajah Malaysia moden.
Saya sendiri hanyalah salah seorang daripada jutaan produk perjalanan tersebut.
Ketika membaca semula tulisan lama itu, saya sebenarnya berfikir dan cuba mencari seribu satu sebab mengapa, selepas lapan tahun, saya harus mengubah pendirian yang pernah saya ambil ketika berusia 25 tahun. Saya cuba melihatnya daripada pelbagai sudut dan menilainya kembali dalam sebuah Malaysia yang juga sudah banyak berubah.
Namun akhirnya, saya tidak menjumpai apa-apa sebab untuk saya berubah pendirian.
Mempertahankan UiTM bukan bermaksud meminta Melayu dan bumiputera selama-lamanya berlindung daripada persaingan. Sebaliknya, UiTM harus menjadi tempat yang mempersiapkan mereka supaya akhirnya mampu keluar dan bersaing dengan sesiapa sahaja.
Dalam hal ini, saya teringat kata-kata Profesor Diraja Ungku Aziz yang saya sebutkan dalam permulaan tulisan pada tahun 2018:
“Untuk membina ketahanan dan kecergasan diri, seseorang itu tidak perlu melakukan ‘senaman’ dengan kaum lain kerana yang penting ialah kekuatan minda dan keazaman individu itu sendiri.”
Saya fikir di sinilah kita sering tersalah memahami persoalan persaingan.
Persaingan tidak bermula dengan mencampakkan semua orang ke gelanggang yang sama lalu menganggap tugas kita sudah selesai. Persaingan memerlukan persediaan. Ia memerlukan ilmu, keyakinan, disiplin dan kekuatan untuk berdiri sendiri.
UiTM tidak harus menjadi tempat untuk Melayu dan bumiputera melarikan diri daripada persaingan. UiTM harus menjadi tempat mereka dipersiapkan untuk persaingan.
Kita harus ingat bahawa mahasiswa UiTM tidak akan hidup di dalam UiTM selama-lamanya. Mereka akan keluar ke mahkamah, hospital, firma, syarikat, universiti, pasaran dan dunia yang tidak memberikan mereka perlindungan yang sama. Di situlah ukuran sebenar kejayaan institusi ini.
Pada tahun 2018 saya menutup tulisan tersebut dengan kata-kata Tun Tan Siew Sin:
“An economically depressed Malay community in a prosperous Malaya will not mean a peaceful Malaya.”
Lapan tahun kemudian, sempena menyambut kemerdekaan negara yang ke-69, saya membaca kembali kata-kata tersebut dan mendapati bahawa saya masih percaya kepada kebijaksanaan di sebaliknya.
Sebuah Malaysia yang makmur tidak akan lengkap sekiranya kemakmuran itu meninggalkan sebahagian besar rakyatnya di belakang.
Dan mungkin itulah jawapan kepada persoalan yang saya tanyakan kepada diri sendiri pada awal tulisan ini.
Selepas lapan tahun, saya masih percaya kepada UiTM.
UiTM harus mempertahankan kedudukannya, meningkatkan kualiti dan mutunya serta memastikan peluangnya sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.
Seperti yang saya tulis pada tahun 2018, UiTM harus kembali kepada akar.
Khairul Naim Rafidi ialah seorang peguam, Ahli Majlis MBSA, Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia serta alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM).
















