Pemandangan bangunan pencakar langit di ibu kota diliputi jerebu ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar ketika musim jerebu berpotensi menjejaskan kualiti sperma dan kesuburan lelaki, kata Pensyarah Kanan Biokimia dan penyelidik Biokimia Penuaan Otak dan Reproduktif, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Faizul Jaafar.

Beliau berkata, kajian terkini mendapati pendedahan tinggi kepada pencemaran udara luar dikaitkan dengan penurunan isipadu air mani, kepekatan sperma, motiliti keseluruhan dan progresif serta peratusan sperma bermorfologi normal.

Katanya, lelaki yang terdedah kepada pencemaran udara pada tahap tinggi turut berisiko mengalami peningkatan indeks pemecahan DNA sperma (DFI), iaitu penanda kerosakan genetik sperma yang boleh menjejaskan kesuburan dan proses kehamilan.

Dr. Faizul Jaafar

“Para penyelidik mengaitkan kesan ini dengan tekanan oksidatif yang dicetuskan oleh bahan pencemar dalam jerebu, terutamanya zarah halus PM2.5, ozon dan nitrogen dioksida.

“Bahan pencemar ini dipercayai merosakkan DNA sperma, di samping mengganggu proses penghasilan sperma atau spermatogenesis di dalam testis,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Faizul berkata, proses pembentukan sperma mengambil masa lebih 70 hari, justeru pendedahan berpanjangan sepanjang musim jerebu berpotensi memberi kesan secara kumulatif.

Berikutan itu, katanya, keadaan tersebut wajar diberi perhatian di Malaysia yang berdepan episod jerebu berulang setiap tahun, khususnya ketika Monsun Barat Daya.

“Golongan yang bekerja dalam industri gig seperti pemandu motosikal Grab dan Foodpanda berkemungkinan berisiko lebih tinggi memandangkan mereka terdedah kepada udara tercemar dalam tempoh panjang setiap hari.

“Walaupun kajian khusus terhadap golongan ini masih diperlukan, pendedahan berterusan sebegini secara saintifik dijangka meningkatkan risiko penurunan kualiti sperma,” katanya.

Menurut Dr. Faizul, kajian terbaharu oleh Fakulti Perubatan UKM mendapati lebih 30 peratus lelaki muda kini mempunyai kualiti air mani yang rendah.

“Ramai antara mereka kelihatan sihat dan cergas dari luar tanpa sebarang gejala dan berkemungkinan mandul tanpa disedari,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), mengurangkan aktiviti luar ketika jerebu teruk dan memakai pelitup muka apabila perlu.

“Langkah pencegahan ini wajar diberi perhatian kerana kualiti sperma bukan sekadar penanda kesuburan, malah dilihat sebagai cerminan kesihatan lelaki secara menyeluruh,” ujar beliau lagi..

Beliau berkata, penyelidik UKM yang terdiri daripada pelajar perubatan dan pakar kesihatan lelaki komited membantu lelaki di Malaysia memahami kepentingan kesihatan reproduktif dan mereka yang ingin mengetahui status kesihatan boleh mendaftar melalui pautan
berikut: sites.google.com/view/sqresearch/bahasa-melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here