Empat lelaki didakwa terlibat dengan rusuhan bersenjata di Jalan Bukit Kemuning, Batu 8, Sri Muda, pada 13 Ogos lalu.

SHAH ALAM – Empat rakan masing-masing didenda RM2,900 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terlibat dengan rusuhan bersenjata di Jalan Bukit Kemuning, Batu 8, Sri Muda, pada 13 Ogos lalu.

Pengakuan itu dibuat oleh R. Karthik, Omar Shankar a/l R. Joseph, Pandian dan Visvara a/l Chandran Segaran selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Noora Nisa Ngadirin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengambil bahagian dalam rusuhan menggunakan parang kira-kira pukul 11 pagi pada tarikh kejadian.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, Karthik dan Omar Shankar yang masing-masing bekerja sebagai pemandu lori, manakala Pandian dan Visvara sebagai pengawal keselamatan, memohon hukuman diringankan.

Keempat-empat mereka turut memberitahu mahkamah bahawa tindakan dilakukan kerana mahu mempertahankan diri dan hanya menjadi mangsa. 

Karthik dan Omar Shankar diwakili peguam Muhamad Saifullah, manakala Pandian dan Visvara diwakili peguam M. Partiben.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara lima bulan terhadap setiap tertuduh sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan lelaki terbabit dalam pergaduhan menggunakan parang dan objek menyerupai pistol di kawasan berkenaan, yang kemudiannya tular menerusi rakaman video di media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here