Naib Presiden MCA Datuk Lawrence Low

KUALA LUMPUR – MCA mendakwa enam ikhtiar segera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 baru-baru ini secara tidak langsung mendedahkan kelemahan beberapa dasar fiskal kerajaan.

Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, langkah berkenaan wajar dilihat sebagai isyarat bahawa suara rakyat dan komuniti perniagaan semakin memerlukan perhatian dalam pelaksanaan dasar berkaitan subsidi, percukaian dan kos operasi.

Katanya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila usaha meningkatkan hasil negara dikhuatiri memberi tekanan kepada margin keuntungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus menjejaskan kuasa beli pengguna.

“Umum tahu, mana-mana pembaharuan berkaitan percukaian, subsidi dan dasar fiskal wajar dinilai secara menyeluruh bagi memastikan ia tidak terlalu membebankan.

“Perubahan dasar turut melemahkan keyakinan terhadap kestabilan dasar,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas pelaksanaan e-Invois, Lawrence berkata, kenaikan ambang pengecualian kepada RM3 juta setahun sememangnya memberi kelegaan kepada komuniti peniaga.

Bagaimanapun, beliau berkata Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA akan terus memperjuangkan penetapan ambang yang lebih munasabah.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan penambahan kemudahan pembiayaan mikro RM1 bilion dan pelaksanaan Geran Sejahtera Madani bernilai RM200 juta sebagai antara langkah yang boleh membantu PKS menghadapi tekanan semasa.

Namun, Lawrence berkata, tumpuan kerajaan tidak seharusnya terhenti pada penyediaan pembiayaan, sebaliknya perlu memperluas langkah yang mampu mengukuhkan asas perniagaan.

“Menggalakkan PKS terus berhutang bukanlah satu penyelesaian yang mampan sekiranya PKS tidak dapat membayar balik pinjaman kerana tidak mampu meraih keuntungan susulan kelembapan perniagaan masing-masing,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha merancakkan permintaan dan tempahan, memperkukuh aliran tunai serta keuntungan PKS, selain meneliti beban cukai, kos tenaga dan kos pentadbiran yang ditanggung sektor berkenaan.

Sementara itu, Lawrence yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menilai semula cukai serta caj yang tidak munasabah, di samping memperketat kawalan terhadap perbelanjaan pentadbiran.

Oleh itu, beliau menyarankan supaya kerajaan mengkaji semula tarif elektrik dan pelbagai caj tambahan supaya struktur kos yang ditanggung isi rumah serta komuniti perniagaan lebih telus dan munasabah.

“Semua peringkat termasuk agensi-agensi kerajaan juga harus memainkan peranan dengan menguruskan perbelanjaan secara berhemah dan menyalurkan sumber kepada peningkatan kesejahteraan rakyat, merancakkan ekonomi dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here