KUANTAN – Bukan sekadar deretan kedai, sebaliknya mahu menjadi ‘enjin’ baharu ekonomi negeri.
Itulah aspirasi Yayasan Pahang (YP) menerusi pembangunan YP Commercial Centre (YPCC) yang kini diperluaskan di tiga lokasi strategik sekitar Kuantan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata YPCC bukan sekadar projek hartanah, sebaliknya dirangka sebagai satu ekosistem perniagaan yang mampu merancakkan kawasan sekitar serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.

Menerusi anak syarikat milik penuhnya, YP Land Sdn Bhd, YP membangunkan YPCC Tanjung Lumpur, YPCC Bandar Indera Mahkota dan YPCC Kuantan sebagai sebahagian usaha mengembangkan aset negeri kepada aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi.
“Bagi saya, YPCC bukan sekadar deretan premis atau projek hartanah. Ia adalah usaha membina ekosistem perniagaan.
“Di Tanjung Lumpur, pembangunan YPCC membabitkan kawasan seluas 24.8 ekar dengan ruang boleh disewa berkeluasan 232,889 kaki persegi,” katanya.
Wan Rosdy berkata ia menggabungkan tiga komponen utama iaitu Zon Komersial, Zon Automotif dan RIMBUN yang menempatkan pelbagai segmen termasuk peruncitan, automotif, makanan dan minuman, perkhidmatan serta gaya hidup.
Malah sambutan terhadap pembangunan itu juga cukup memberangsangkan apabila kadar komitmen keseluruhan kini mencecah 70 peratus.
Jelasnya Zon Komersial mencatat 100 peratus sewaan, manakala Zon Automotif mencapai 70 peratus dan RIMBUN sebanyak 60 peratus.
“Lebih menarik, YPCC Tanjung Lumpur berjaya menarik nama-nama besar seperti Mydin, McDonald’s, FamilyMart, BHPetrol, Perodua, Proton, The Coffee Bean & Tea Leaf dan MBS Bookstore,” ujarnya.
Menurutnya, kehadiran jenama berkenaan bukan sekadar mengisi ruang perniagaan, malah menjadi petunjuk keyakinan pemain industri terhadap potensi pertumbuhan Kuantan dan masa depan Pahang.
YPCC turut diperluaskan ke Bandar Indera Mahkota dan Batu 3, Kuantan dengan konsep pembangunan yang disesuaikan mengikut potensi serta keperluan pasaran di setiap lokasi.
Di Bandar Indera Mahkota, pembangunan itu bakal menyediakan 62 unit kedai pejabat dua tingkat, 12 unit kedai pejabat tiga tingkat dan satu lot perniagaan satu tingkat.
Sementara YPCC Kuantan di Batu 3 pula merangkumi 64 unit kedai pejabat dua tingkat, enam unit kedai pejabat tiga tingkat serta satu lot perniagaan satu tingkat yang dirancang untuk menempatkan sebuah pasar raya.
“Meskipun ketiga-tiga lokasi mempunyai ciri dan keperluan pasaran berbeza, matlamatnya tetap sama iaitu memastikan aset dibangunkan berdasarkan potensi, keperluan dan peluang pertumbuhan.
“Ini menunjukkan bahawa Yayasan Pahang bukan sekadar mengurus aset, tetapi sedang berusaha mengembangkan aset tersebut supaya menghasilkan nilai ekonomi yang lebih besar kepada negeri dan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















