SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijadualkan berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini difahamkan dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung pada 31 Ogos lalu.
Peguam yang mewakili individu berkenaan, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, mengesahkan perkara itu kepada media pagi ini.
Bagaimanapun, setakat jam 9 pagi, prosiding di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud masih belum bermula.
Seawal jam 7 pagi, sekumpulan pengamal media sudah berkumpul di lobi Mahkamah Shah Alam bagi mengikuti perkembangan kes berkenaan.
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut dilihat tiba di kompleks mahkamah sekitar jam 8 pagi.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan beberapa individu yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji akan didakwa.
Menurutnya, SPRM membuka 14 kertas siasatan berkaitan RCI berkenaan, selain menahan 18 individu termasuk 11 yang direman dan memanggil 245 saksi untuk membantu siasatan.
Sebanyak 60 premis turut diperiksa dan digeledah bagi mendapatkan dokumen berkaitan siasatan.
Siasatan berkenaan merangkumi beberapa isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI termasuk dakwaan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa membabitkan pengurusan serta pelaburan TH.
SPRM sebelum ini turut menyatakan beberapa isu berkaitan pengurusan dan pelaburan TH sedang diteliti susulan penemuan serta syor yang dikemukakan RCI.
Kini, perhatian tertumpu kepada perkembangan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini, termasuk sama ada prosiding terhadap bekas COO TH itu akan diteruskan atau ditangguhkan susulan masalah kesihatan yang dialaminya. – MalaysiaGazette
















