KOTA BHARU – Kehadiran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di Hotel Grand Riverview di sini hari ini mencuri perhatian, khususnya ketika hubungan UMNO dan Pas kembali menjadi tumpuan dalam landskap politik negara.
Muhammad Akmal hadir pada Muktamar Dewan Pemuda Pas yang berlangsung hari ini, sekali gus menjadi antara pimpinan UMNO yang memenuhi jemputan parti itu sempena Muktamar Pas ke-67.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, kehadiran pimpinan UMNO pada Muktamar Pas kali ini merupakan kali kedua selepas 2019.
Menurut beliau, Muktamar Pas pada 2019 yang berlangsung di Pahang telah dihadiri Timbalan Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Mohamad Hassan.
“Untuk kali ini, pimpinan UMNO yang dijangka hadir muktamar Pas adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan pimpinan UMNO Kelantan.
“Manakala Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pula akan hadir Muktamar Pemuda yang berlangsung Khamis,” katanya sebelum ini.
Kehadiran Akmal pada muktamar sayap Pemuda Pas itu dilihat menarik perhatian memandangkan kedua-dua parti berkenaan mempunyai sejarah kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional sebelum ini.
Ia juga membuka ruang kepada pimpinan kedua-dua sayap parti untuk bertemu dan bertukar pandangan berhubung perkembangan politik semasa serta isu yang dekat dengan kepentingan generasi muda.
Muktamar Dewan Pemuda Pas merupakan antara platform penting bagi parti itu membincangkan hala tuju, dasar dan gerak kerja Pemuda Pas dalam menghadapi perkembangan politik semasa. – MalaysiaGazette
















