JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 123 warga asing dan enam warga tempatan selepas menggempur 21 premis di daerah ini semalam dan kelmarin.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi tersebut melibatkan sepasukan pegawai bahagian penguat kuasa negeri bermula pukul 11 pagi hingga hingga 2 petang.
“Operasi yang dilaksanakan secara berterusan ini melibatkan pemeriksaan di pelbagai jenis premis yang dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi berlakunya pelanggaran peraturan imigresen.
“Operasi dilakukan antaranya di kedai makan dim sum, pusat servis dan baik pulih kenderaan, pusat dobi, kedai aksesori kenderaan serta pusat refleksologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, pemeriksaan awal menahan seramai 123 owarga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
Jelasnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 47 lelaki dewasa warganegara Myanmar, lima lelaki dewasa Bangladesh, 10 lelaki dewasa Indonesia, lima lelaki dewasa Pakistan, enam lelaki dewasa Nepal dan seorang lelaki dewasa warga China.
Turut ditahan katanya, seorang wanita dewasa Vietnam, 14 wanita dewasa Indonesia, 27 wanita dewasa Myanmar dan tujuh wanita dewasa warga China.
Menurutnya, mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 50 tahun dan dipercayai bekerja sebagai tukang masak, tukang urut dan pelayan serta pelanggan di premis terbabit.
Tambahnya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut. Sebanyak 13 keping Borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Operasi itu katanya, membuktikan tiada sektor yang terkecuali daripada pemantauan dan tindakan penguatkuasaan.
Premis terbabit yang menjadi sasaran diperiksa secara menyeluruh bagi memastikan setiap individu berada dan bekerja mempunyai dokumen perjalanan serta pas imigresen yang sah, katanya.
“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan Madani, JIM Johor menegaskan tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
Tegas beliau, operasi seumpama itu akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.- MalaysiaGazette
















