BANDAR BARU BANGI – Semua pihak diseru mengelakkan budaya mencari kambing hitam susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH), sebaliknya mencari punca sebenar kelemahan yang berlaku dan mencari jalan penyelesaian.
Presiden Wadah, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman berkata, perbincangan mengenai laporan RCI perlu dijadikan medan muhasabah bagi mengenal pasti “root cause” atau punca asas kepada masalah yang berlaku dalam pengurusan TH.
Katanya, dialog mengenai TH tidak seharusnya berubah menjadi gelanggang tuduh-menuduh atau medan politik untuk mencari kemenangan.
“Dialog untuk mencari kebenaran, bukan mencari kemenangan.
“Dialog yang mencari penyelesaian, bukan mencari kambing hitam,” katanya ketika berucap pada Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH, di sini, hari ini.
Menurut Azam, pihaknya mahu mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk kepimpinan TH, pakar kewangan, tokoh korporat, ahli akademik, ilmuwan, bekas pemimpin TH dan masyarakat madani.
“Perbezaan pandangan tidak semestinya memecahbelahkan umat sekiranya ia diurus berdasarkan ilmu dan adab.
“Sebaliknya jika diurus dengan ilmu dan adab, perbezaan pandangan boleh menghasilkan dasar yang lebih baik,” katanya.
Katanya lagi, tujuan utama dialog berkenaan adalah mencari titik temu mengenai langkah yang boleh diambil bagi mengembali dan memperkukuhkan keyakinan umat Islam terhadap TH.
“Dapatan RCI perlu dibaca dan difahami secara objektif kerana laporan itu bukan laporan mana-mana parti politik.
“Politik tidak boleh mengatasi kebenaran tetapi kebenaran juga tidak boleh diperalatkan untuk kepentingan politik.
“Kita perlukan kebenaran yang membawa kepada muhasabah, pembaikan dan juga pembetulan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















