KUALA LUMPUR – Desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) supaya Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan dilayan.
Ini kerana pelantikan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Lantaran itu, Asyraf Wajdi menegaskan, beliau hanya akan berundur sekiranya Zahid selaku pihak yang melantiknya meminta beliau berbuat demikian.
“Saya dilantik oleh TPM merangkap Menteri KKDW. Saya hanya menurut perintah jika Menteri KKDW minta saya letak jawatan, saya akur.
“Yang selayaknya meminta saya meletakkan jawatan ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah melantik saya. Bukan ikut cakap desakan AMK,” katanya pada sidang media Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Menara Dato Onn, di sini.
Beliau turut menolak cubaan mengaitkannya dengan isu Tabung Haji menerusi laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung institusi berkenaan.
Asyraf Wajdi menjelaskan namanya tidak disebut dalam laporan RCI itu dan beliau juga tidak pernah dikaitkan dengan isu Tabung Haji.
“RCI Tabung Haji itu tak ada kaitannya kerana tak ada pun nama saya dalam RCI Tabung Haji.
“Saya pun tidak pernah dikaitkan dengan isu Tabung Haji, hanya kerana mainan persepsi yang mahu merobohkan reputasi dan imej,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, sepanjang tiga tahun menerajui MARA tumpuannya adalah memastikan institusi itu terus diperkukuh, termasuk dari segi tadbir urus, pendidikan dan keusahawanan orang Melayu.
“Yang paling penting, institusi ini akan terus dipertahankan. Jangan ada usaha-usaha untuk meroboh reputasinya dan usaha-usaha luar yang sengaja mahu melihat institusi orang Melayu ini jatuh,” ujarnya.
Tegasnya, beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang agenda yang bertujuan menjatuhkan institusi berkenaan kerana MARA merupakan amanah untuk orang Melayu.
“Kalau ada agenda-agenda yang sekadar untuk menjatuhkan institusi ini, saya akan terus mempertahankannya.
“Yang paling penting ini adalah amanah. Ini bukan soal Asyraf Wajdi. Ini soal institusi MARA yang merupakan institusi amanah orang Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette
















