Muhammad Azril Haziq dan keluarganya terus menanti perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat di pos kawalan tempat kejadian di pantai Tanjung Lompat, Penawar, Kota Tinggi hari.

KOTA TINGGI – “Kami berdoa jasadnya ditemukan hari ini dalam apa juga keadaan,” ujar abang kepada remaja lemas di Pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini semalam yang jasadnya masih belum ditemukan.

Muhammad Azril Haziq Kamal, 23, abang kepada Muhammad Adib Hafiy Kamal, 16, yang masih hilang berkata, keluarganya amat berharap agar adiknya dapat ditemukan hari untuk dibawa pulang.

“Awal-awal apabila dengar adik saya lemas, saya marah. Bukan sedih, tetapi geram. Saya fikir kenapa dia pergi mandi dan siapa yang ajak dia.

“Tetapi semakin lama dicari dan tidak ditemukan, perasaan itu berubah. Kami mula reda. Kalau boleh, kami harap dia ditemukan hari ini.

Ahli keluarga masih hadir di persisir Pantai Tanjung Lompat, Penawar, Kota Tinggi sejak semalam mengharapkan ada mangsa yang masih hilang ditemukan hari ini

“Sekurang-kurangnya kami dapat bawa dia pulang. Kami tidak mahu setiap kali datang ke sini, kami masih tertanya-tanya dan berharap,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita denganditemani ibunya, Nur Aishah Jasman, 42, ketika ditemui di pos kawalan tempat kejadian di pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini hari.

Bercerita lanjut, Muhammad Azril Haziq berkata, Muhammad Adib yang juga anak ketiga daripada lima beradik tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum kejadian dan sempat meluangkan masa bersama keluarga beberapa hari lalu.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa adiknya itu pada malam Hari Kebangsaan pada Ahad lalu dengan semua ahli keluarga berkumpul secara beramai-ramai di rumah mereka di Felda Simpang Waha di sini.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan tanpa henti sejak semalam bagi mengesan tiga lagi remaja lemas yang masih hilang

“Tiada tanda-tanda pelik. Dia ada beritahu atuk dan nenek mahu pergi berkhemah, bakar-bakar dan makan bersama kawan-kawan.

“Atuk dan nenek juga sudah pesan supaya jangan mandi, tetapi biasalah budak-budak. Dia mungkin rasa mahu cuba,” katanya.

Terdahulu, portal ini melaporkan empat remaja dikhuatiri lemas manakala dua berjaya diselamatkan selepas mandi di pantai berkenaan pukul 7.30 pagi semalam.

Mayat mangsa pertama, Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad, 16, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat dengan bantuan penduduk kampung pukul 1.25 petang, kira-kira 800 meter dari lokasinya dilaporkan lemas.

Mayat seorang daripada empat remaja yang lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Desaru, Penawar, Kota Tinggi ditemui petang ini.

Tiga lagi yang masih belum ditemukan adalah Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal, semua mangsa berusia 16 tahun.

Operasi mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa diteruskan hari ini membabitkan 41 anggota pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here