BUKIT MERTAJAM – Seorang mekanik cedera di tapak tangan kanan akibat ditembak dalam kejadian di Jalan Sungai Lembu di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, sekurangnya-kurangnya tiga das tembakan dilepaskan ke arah lelaki berusia 43 tahun itu.
MalaysiaGazette difahamkan, mangsa didatangi dua lelaki menaiki motosikal ketika dia berada di bengkel kereta tersebut sebelum melepaskan tembakan.
Susulan itu, mangsa bertindak melarikan diri kira-kira 50 meter dari bengkel tersebut sebelum melompat pagar bertentangan jirat cina bagi menyelamatkan diri.
Mangsa dikatakan membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Kulim, Kedah sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Polis masih menyiasat motif kejadian dan mangsa dikatakan mempunyai rekod jenayah lampau.
Terdahulu, hasil siasatan pihak polis dan forensik turut menemukan peluru serta kelongsong di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian.
“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















