WELLINGTON, New Zealand – Dua pakar psikiatri di New Zealand mendapat kelulusan untuk memberikan preskripsi dadah metil​enadioksi​metamfetamina (MDMA) atau ekstasi gred farmaseutikal kepada pesakit yang mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) yang teruk.

Kelulusan oleh badan kawal selia farmaseutikal New Zealand, Medsafe, menjadikan negara itu hanya negara kedua di dunia yang meluluskan penggunaan dadah yang sering dikaitkan dengan parti tersebut bagi merawat PTSD, selepas Australia pada 2023.

“PTSD merosakkan kehidupan dan sukar dirawat. MDMA boleh menjadi sangat berkesan untuk merawatnya melalui terapi berbantukan psychedelic,” kata Timbalan Perdana Menteri David Seymour, yang tahun lalu menyokong kelulusan penggunaan cendawan halusinogen untuk merawat individu yang mengalami kemurungan teruk.

Seymour berkata, New Zealand komited untuk memperluas akses kepada “rawatan inovatif”.

PTSD ialah gangguan kesihatan mental yang boleh berlaku selepas seseorang mengalami atau berdepan ancaman peristiwa traumatik seperti kematian, peperangan atau serangan seksual.

Ujian klinikal masih dijalankan di Amerika Syarikat selepas Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) pada 2024 menolak kelulusan penggunaan MDMA sebagai rawatan perubatan kerana mendapati bukti berhubung keselamatan dan keberkesanannya masih tidak mencukupi.

Pilihan rawatan farmaseutikal untuk PTSD di Amerika Syarikat setakat ini terhad kepada dua jenis antidepresi yang memerlukan pengambilan selama tiga bulan sebelum kesannya dapat dilihat, manakala kadar tindak balas terhadap ubat berkenaan adalah tidak konsisten.

Satu kajian di Israel tahun lalu mendapati MDMA yang diambil oleh pengunjung Festival Muzik Nova ketika ratusan orang terbunuh dalam serangan Hamas membantu mengurangkan kesan trauma yang dialami mereka.

Kementerian Kesihatan New Zealand berkata, rawatan berbantukan MDMA akan digabungkan dengan psikoterapi, selain menegaskan pesakit tidak akan dibekalkan ubat untuk dibawa pulang. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here