Jurucakap HARAM, Brendon Gan, menyerahkan memorandum Greenpeace Malaysia dan HARAM kepada wakil Kedutaan Republik Indonesia di hadapan Kedutaan Republik Indonesia di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Greenpeace Malaysia dan Himpunan Advocacy Rakyat Malaysia (HARAM) mendesak Kerajaan Indonesia mendedahkan nama syarikat Malaysia yang dikenal pasti terbabit dalam kebakaran dan pencemaran jerebu rentas sempadan.

Ketua Kempen Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun berkata, Kerajaan Indonesia mempunyai maklumat yang boleh membantu mengenal pasti pihak bertanggungjawab terhadap kebakaran dan jerebu yang berlaku.

Katanya, maklumat termasuk lokasi kebakaran, hasil siasatan, pemilikan konsesi dan bukti berkaitan perlu didedahkan kepada umum.

“Jika syarikat Malaysia terbabit, kami akan membawa bukti itu pulang dan menuntut kerajaan kami sendiri mengambil tindakan terhadap mereka. Jerebu tidak berhenti di sempadan Indonesia, begitu juga akauntabiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai protes aman dan penyerahan memorandum Greenpeace Malaysia dan HARAM di hadapan Kedutaan Republik Indonesia di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap HARAM, Brendon Gan berkata, Malaysia ketika ini masih belum diperkasakan dengan undang-undang berkaitan Jerebu Rentas Sempadan, manakala RUU berkaitan akta itu yang pernah diperkenalkan pada 2019 telah digugurkan selepas itu.

Katanya, RUU berkenaan perlu dibawa semula ke Parlimen bagi memperkasakan badan kehakiman untuk mendakwa dan mengenakan penalti terhadap entiti korporat tempatan yang menyumbang kepada kebakaran.

“Jika kerajaan pada hari ini terus enggan membawa semula akta ini ke Parlimen, kita akan terus bersuara, terus turun ke padang dan terus menggunakan proses hak demokratik untuk menuntut akauntabiliti daripada kerajaan,” katanya.

Brendon turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekerjasama dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi mendapatkan butiran, data, analisis serta nama syarikat yang terbabit secara aktif dalam pembakaran terbuka di Kalimantan, Sumatera dan Indonesia secara keseluruhannya.

Katanya, syarikat yang dikenal pasti terbabit perlu dipanggil, dikenakan penalti dan didakwa, selain kerajaan tidak seharusnya menutup mata terhadap rakyat dan masyarakat hanya kerana syarikat terbabit menjana keuntungan kepada ekonomi Malaysia.

Dalam pada itu, pada 31 Ogos lalu, pihak berkuasa Indonesia mengumumkan siasatan terhadap 19 syarikat pemegang konsesi susulan kebakaran yang menjejaskan 11,047 hektar di tujuh wilayah.

Pihak berkuasa Indonesia turut memaklumkan 42 syarikat dikenal pasti memegang konsesi yang mempunyai potensi tinggi berlaku kebakaran hutan, namun nama syarikat yang sedang disiasat belum didedahkan kepada umum.

Greenpeace Malaysia dan HARAM turut mendesak kerajaan Indonesia berkongsi bukti berkaitan dengan kerajaan Malaysia secara berterusan melalui mekanisme ASEAN atau saluran dua hala bagi membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat Malaysia yang terbukti terbabit dalam kebakaran dan jerebu rentas sempadan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here