MELAKA – Seorang pesara kanan tentera bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah bagi mencabul seorang gadis kedi, bulan lalu.
Tertuduh, Yahya Hashim, 68, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang gadis berusia 20 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di padang golf Tiara Melaka Golf & Country Club, Jalan Gapam, Bukit Katil di sini, pada 25 Ogos lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Peguam Melvin Tay yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan lebih rendah kerana tertuduh adalah pesara, tinggal bersama isteri, selain memerlukan rawatan masalah kesihatan berkaitan prostat.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjaminserta bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















