KUALA LUMPUR – Ketidakhadiran Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Muktamar Pas hari ini tidak menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti, kata penganalisis politik, Shahbudin Husin.
Lagipun, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah nenjelaskan kehadiran Ahmad Zahid terpaksa dibatalkan pada saat akhir kerana timbalan perdana menteri itu mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.
Bahkan, ketiadaan Ahmad Zahid itu sudah diwakili dengan kehadiran Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Shahbudin berkata, kehadiran Ahmad Zahid sememangnya dinanti-nantikan meskipun yang ‘lebih-lebih terlompat’ ialah pembenci Pas dan penyatuan Melayu/Islam di negara ini.
“Kalau Ahmad Zahid hadir, lain cara spin mereka dan kalau Pengerusi BN itu tidak hadir, lain pula spin yang akan mereka tampilkan.
“Pokoknya, mereka tidak suka Pas berbaik dengan UMNO dan mereka juga tidak suka penyatuan Melayu/Islam berlaku,” tulisnya dalam hantaran di Facebook.
Pun begitu, ujar beliau, sama ada Ahmad Zahid hadir atau tidak, ia bukanlah suatu masalah kepada penyatuan ummah atau boleh membuatkan segala-galanya terbatal dengan serta-merta.
“Kerjasama UMNO dan Pas tetap berjalan dan penyatuan ummah yang dirancang, insya-Allah tetap menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau turut berpandangan hubungan antara UMNO dan Pas kini semakin akrab susulan kerjasama kedua-dua parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan kemungkinan diteruskan di Melaka.
Menurutnya, kehadiran wakil UMNO pada Muktamar Pas menunjukkan hubungan antara kedua-dua parti tetap berjalan walaupun Ahmad Zahid tidak dapat hadir.
“Walau Ahmad Zahid tidak hadir, yang paling penting ialah UMNO telah hadir serta bertapak dalam hati Pas dan Pas juga sudah hadir dan bertapak dalam hati UMNO.
“Kedua-dua parti sudah semakin akrab sekarang ini,” katanya.
Shahbudin turut mendakwa ketidakhadiran Ahmad Zahid tidak akan menyebabkan hubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) kembali bertambah baik. – MalaysiaGazette
















