KUALA LUMPUR – Pas dicabar membuktikan keikhlasannya dalam usaha memperkukuh perpaduan ummah dengan menarik balik Amanat Haji Hadi 1981 yang pernah mencetuskan kontroversi terhadap UMNO.
Setiausaha Pemuda Amanah, Ahmad Shahir Mohd Shah berkata, perkara itu wajar diperjelaskan sekiranya Pas benar-benar serius mahu membina jambatan kerjasama dengan UMNO.
Bagaimanapun, beliau tidak melihat sebarang kecenderungan Pas untuk menarik balik amanat berkenaan, malah menjangkakan parti itu akan terus membawa naratif perjuangan Melayu dan Islam dalam usaha mendapatkan sokongan politik.
“Saya tidak rasa Pas akan tarik ataupun mereka akan menyebut tentang fatwa itu lagi.
“Tetapi saya lihat mereka akan konsisten menyebut tentang perjuangan agenda Melayu-Islam yang tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk merampas kuasa daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub baru-baru ini supaya Pas menarik balik fatwa yang dikaitkan dengan Amanat Haji Hadi 1981 kerana menyinggung perasaan sebahagian besar ahli UMNO.
Menurut Mustapha, kepimpinan Pas juga tidak lagi boleh dipercayai sekiranya hanya mengemukakan janji ketika parti berdepan keadaan terdesak.
Dalam pada itu, Ahmad Shahir turut mempersoalkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh bahawa Pas dan UMNO mempunyai persamaan dari sudut akidah serta kepentingan umat Islam perlu dijadikan asas kepada usaha membina kerjasama antara kedua-dua parti.
“Kalau mereka kata akidah mereka sama, maka perjuangan Islam Pas itu mesti sama dengan perjuangan Islam UMNO. Jadi sebenarnya itu adalah jurang yang sukar untuk mereka satukan.
“Kalau tengok kepada dasar-dasar mereka, hanya menyebut tentang Islam tetapi Islam yang difahami atau dibawa oleh Pas itu berbeza, begitu juga dengan UMNO,” katanya.
Ahmad Shahir berkata, persamaan yang lebih jelas antara kedua-dua parti ketika ini adalah dari sudut kepentingan politik, khususnya usaha mendapatkan sokongan dan kuasa.
“Yang mereka boleh satukan ialah misi mereka untuk mendapatkan tampuk kuasa. Kalau tanya apakah mereka akan menarik balik fatwa, saya lihat dalam Muktamar kali ini tidak nampak lagi usaha itu ataupun didesak oleh perwakilan.
“Saya nampak mereka sekarang ini bercakap tentang kuasa. Kalaulah Pas menarik balik, mungkin kesannya tidaklah begitu besar kerana sudah ada persetujuan yang mereka letak iaitu mereka mahukan kuasa yang terletak kepada kuasa Melayu, bukan lagi atas nama Islam,” katanya.
Menurutnya, UMNO dan Pas masing-masing mempunyai pendekatan berbeza dalam membawa agenda politik Melayu dan Islam, namun kedua-duanya dilihat mempunyai kepentingan untuk mempertahankan kedudukan politik masing-masing.
“Kedua-dua parti mahu mengekalkan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN. Itu sahaja matlamatnya.
“Kalau tanya saya apakah Pas akan menarik balik fatwa, saya tidak nampak usaha itu akan dibuat,” katanya. – MalaysiaGazette
















