PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menyifatkan kes seorang lelaki kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan pertuturan yang didapati bersalah membunuh empat sekeluarga dalam kejadian kebakaran di Tanjung Sepat, Selangor pada 2017 sebagai pembunuhan yang amat serius dan kejam.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Noorin Badaruddin yang mengetuai panel tiga hakim berkata, dua warga emas dan dua kanak-kanak kehilangan nyawa dalam kejadian itu.
Sehubungan dengan itu, beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid sebulat suara menolak rayuan Kang Chang Heng, 47, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Nov 2025.
“Perayu (Kang) menyerang seorang wanita warga emas yang ketika itu berada di kerusi kayu sebelum mengejarnya dan terus menyerangnya selepas dia terjatuh. Perayu kemudian menyerang SP1, iaitu kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan mengelar lehernya dua kali selain rumah itu turut dibakar dengan sengaja.
“SP1 terselamat, namun mengalami serangan fizikal yang ganas serta serius dan menjadi saksi kejadian itu. Selepas sedar, SP1 melihat api sedang marak dan mendengar jeritan mereka yang terperangkap di dalam rumah. Pada pandangan kami, kes ini jauh lebih serius berbanding kes pembunuhan biasa,” katanya.
Mengenai keadaan perayu yang pekak dan bisu, Noorin berkata keadaan itu faktor yang relevan dalam mempertimbangkan pembelaannya.
“Bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa kami tidak menganggap keadaan pekak dan bisu perayu sebagai faktor pemberatan hukuman. Kami juga tidak melihatnya sebagai satu faktor yang boleh meringankan hukuman sehingga boleh mengatasi keseriusan kesalahan yang dilakukannya,” katanya.
Noorin berkata, mahkamah telah meneliti pembelaan perayu yang menyatakan dia meminjam wang daripada seorang along dengan memberikan alamat rumah mangsa sebagai cagaran dan telah ke rumah itu selepas dimaklumkan kediaman tersebut dibakar.
“Perayu sendiri mengakui tidak memberitahu saksi pendakwaan ke-22 (SP22) Christina (Hui Ling) yang dia berada di rumah keluarga Christina pada pagi itu, walaupun perayu mengetahui ibu bapa Christina telah meninggal dunia dalam kebakaran itu.
“Perayu juga mengakui tidak membuat laporan polis mengenai mesej yang didakwa daripada along atau mengenai pembakaran rumah berkenaan,” katanya.
Noorin berkata, hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila membuat kesimpulan pihak pendakwaan telah membuktikan kesemua elemen penting bagi kesemua pertuduhan melampaui keraguan munasabah.
“Kami tidak mendapati sebarang salah arah yang material, salah tafsir atau salah faham terhadap keterangan atau kesilapan prinsip yang mewajarkan campur tangan pada peringkat rayuan. Oleh itu, kami mengekalkan hukuman mati yang dikenakan terhadap perayu,” katanya.
Prosiding dihadiri Timbalan Pendakwa Raya How May Ling dan peguam Jasmine Cheong yang mewakili Kang.
Kang didakwa membunuh Chia Tee Nang, 73, dan isterinya Lim Mai Shak, 68, serta dua cucu pasangan itu Chia Yuan Bin, 3, dan Ryan Chia Zeng Xi, 9, di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat antara 4 hingga 5 pagi 13 Dis 2017.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Kang, pekerja kilang perabot ditahan pada 15 Dis 2017 dipercayai teman lelaki kepada anak bongsu pasangan warga emas itu Chia Hui Ling yang juga OKU pendengaran dan pertuturan.
Mahkamah Rayuan turut mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap Kang kerana menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi cucu pasangan itu Andrew Chia Zeng Haol, 11, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.
Pada 19 Okt 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Kang daripada semua lima pertuduhan tanpa memerintahkannya membela diri di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah Rayuan pada 2 Sept 2024 mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membatalkan pembebasan itu dan memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie serta mengarahkan Kang membela diri. – BERNAMA
















