PENGKALAN CHEPA – Sifat wala’ atau taat kepada kepimpinan dan parti perlu terus diperkukuh dalam kalangan ahli dan penyokong Pas kerana ia menjadi antara resipi penting bagi memastikan kemenangan parti itu, kata Perwakilan Pas Kelantan, Mohd Asri Daud.
Beliau berkata, ahli dan penyokong Pas perlu mempertahankan sifat berkenaan walaupun berdepan pelbagai persepsi negatif serta gelaran yang dilemparkan terhadap mereka.
Menurutnya, ketaatan kepada kepimpinan penting supaya setiap keputusan yang dibuat pucuk pimpinan dapat diterima dengan penuh keyakinan tanpa terpengaruh dengan pelbagai label yang diberikan pihak luar.
“Walaupun orang menggelar kita walaun, menggelar kita dengan macam-macam gelaran, tetapi hakikatnya biarlah gelaran itu pada akhirnya menjadi kenyataan bahawa kita orang yang ditarbiah, yang taat, yang wala’ kepada seluruh keputusan yang ditetapkan oleh kepimpinan dan parti kita.
“Insya-Allah, Allah akan beri kemenangan kepada kita hasil daripada ketaatan dan wala’ ini,” katanya.
Ketua Penerangan Pas Kelantan merangkap Exco Agama negeri itu berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar Pas ke-72 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Asri turut mengetengahkan pencapaian pentadbiran Pas di Kelantan sejak 1990 termasuk usaha menjadikan agenda penyelesaian Islam sebagai keutamaan pentadbiran negeri.
Katanya, Kelantan ketika ini terus bergerak berlandaskan pendekatan tersebut sebagai sebahagian daripada janji yang dibawa Pas kepada rakyat.
“Kelantan alhamdulillah kita bergerak dengan penyelesaian Islam, meletakkan agenda Islam sebagai keutamaan, sebab itu janji kita.
“Setelah 16 seksyen daripada Enakmen Jenayah Syariah telah pun ‘terburai’, tetapi akhirnya baru-baru ini Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan Syariah digubal semula dan diluluskan dengan sebulat suara,” katanya.
Mohd Asri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit berkata, usaha menjadikan Islam sebagai penyelesaian kepada pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat telah dilaksanakan di Kelantan.
Beliau turut memberi bayangan bahawa pendekatan berkenaan akan diperluaskan ke negeri-negeri lain sekiranya Pas diberikan peluang untuk mentadbir di peringkat lebih tinggi.
“Insyaallah usaha-usaha untuk menjadikan agenda penyelesaian Islam sebagai keutamaan akan melebar seluruhnya ke negeri-negeri lain sehingga kita masuk Putrajaya dengan Islam,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















