Perwakilan Negeri Sarawak, Rashidi Halun bercakap pada perbahasan Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 04 SEPTEMBER 2026

PENGKALAN CHEPA – Pas Sarawak menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sekaligus mengintai peluang mencipta kemenangan sulung selepas 30 tahun bertapak di negeri itu.

Perwakilan Pas Sarawak, Rashidi Halun berkata, sasaran empat kerusi berkenaan bukan sekadar angka, sebaliknya setiap kawasan yang dipilih perlu mempunyai objektif, kekuatan dan pelan gerak kerja yang jelas.

Menurutnya, Pas Sarawak perlu memahami sebab parti itu bertanding di sesuatu kawasan selain mengenal pasti kekuatan dan kelemahan bagi memastikan usaha tersebut mampu membina kekuatan parti dalam jangka panjang.

“Empat kerusi bukan sekadar angka. Setiap kerusi yang kita usulkan mempunyai objektif tertentu yang jelas.

“Kita mesti tahu mengapa kita bertanding, apa kekuatan kita, apa kelemahan kita dan apa yang mahu kita bina,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai 82 kerusi DUN dan jumlah itu dijangka bertambah 17 kerusi, menjadikan negeri berkenaan antara negeri yang mempunyai jumlah wakil rakyat terbesar.

Rashidi berkata, Pas Sarawak tidak mahu penyertaan parti dalam PRN hanya sekadar memenuhi pertandingan, sebaliknya mahu ia menjadi sebahagian daripada usaha membina kekuatan parti secara berterusan.

“Kalau selama 30 tahun kita telah menanam, selama 30 tahun kita telah bekerja dan selama 30 tahun kita telah membina, maka kita berharap kemenangan sulung itu menjadi hadiah 30 tahun Pas Sarawak.

“Tetapi, kemenangan itu tidak akan datang hanya kerana kita mengharapkannya.

“Kemenangan datang dengan perancangan yang jitu, usaha dan pengorbanan, serta kerja yang tidak berhenti apabila pilihan raya selesai,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap pimpinan Pas Pusat dan negeri-negeri lain turut membantu memperkukuh gerak kerja serta kekuatan Pas Sarawak.

Katanya, usaha memperkasakan Pas di Sarawak perlu bermula dengan pembinaan keahlian yang lebih kukuh selain sokongan berterusan daripada pimpinan di peringkat pusat dan negeri.

“Kalau mahu Pas kuat, kita perlu bina ahli yang lebih kuat. Kami berharap pimpinan dari Pusat dan negeri-negeri di Tanah Melayu dapat membantu kami menerusi perjuangan menegakkan Islam di bumi Darul Hana,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here