KUALA LUMPUR – Proklamasi menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang ditandatangani Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, 3 Ogos 2026 di Port Dickson, dalam Luak Sungei Ujong adalah tidak sah dan tidak boleh berkuatkuasa.
Perkara itu dinyatakan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, Sidang Dewan Keadilan dan Undang pada 31 Julai 2026 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah memuktamadkan pengisytiharan 19 April 2026 itu tiada kesan undang-undang dan tidak boleh diguna pakai kerana tidak memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Sayugia diingatkan, tiga daripada Undang Empat yang cuba menurunkan DYMM Tuanku Muhriz langsung tiada kuasa sebagai Pembesar Memerintah bagi negeri lantaran telah lucut pesaka mengikut adat luak masing-masing.
“Ditegaskan, apa-apa jua hal berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika ini hendakah ada sabda Kita selaku Imam Undang Yang Empat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan krisis istana Negeri Sembilan dijangka lebih meruncing apabila Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen yang didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Dokumen berkenaan dikatakan mempunyai tandatangan Ismail dan dikongsi kepada pemberita dalam satu sidang media di Galeri Diraja Tuanku Jaafar di sini pada malam Selasa. -MalaysiaGazette
















