KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kos haji dan kadar bayaran haji bagi jemaah Muassasah untuk musim haji 1448H/2027M pada kadar sama seperti tahun sebelumnya.

Pengekalan itu menjadikan kadar kos haji RM33,300 seorang dikekalkan untuk tahun keempat berturut-turut, meskipun berdepan tekanan inflasi, ketidaktentuan ekonomi global serta peningkatan kemudahan dan perkhidmatan di Tanah Suci.

TH berkata, keputusan itu dicapai menerusi tadbir urus cekap, perancangan awal, rundingan strategik serta perjanjian jangka panjang dengan penyedia perkhidmatan.

Dalam masa sama, TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) secara bersasar bagi meringankan beban kewangan bakal jemaah daripada kumpulan B40 dan M40.

Bagi musim haji 1448H/2027M, TH memperuntukkan kira-kira RM234 juta untuk tujuan itu, menjadikan jumlah terkumpul HAFIS sejak diperkenalkan pada 2001 melebihi RM2.8 bilion.

Bakal jemaah B40 yang menerima bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dikenakan bayaran haji RM15,000 atau 45 peratus daripada kos haji.

Kadar itu mengambil kira HAFIS sebanyak RM17,300 serta bantuan kerajaan RM1,000 bagi setiap jemaah.

Sementara itu, jemaah M40 dikenakan bayaran haji RM23,500 atau 71 peratus daripada kos haji dan menerima HAFIS RM9,800, bersamaan 29 peratus.

Bagi kumpulan T20 dengan pendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan pula, mereka perlu membayar kos haji penuh sebanyak RM33,300 seorang.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, keupayaan institusi itu mengekalkan kos haji dan menyediakan bantuan kewangan, di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan, disokong kedudukan kewangan yang semakin kukuh.

Katanya, ia hasil pengurusan kewangan berdisiplin, pengurusan risiko yang dipertingkatkan serta penambahbaikan tadbir urus secara berterusan.

“Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kuota rasmi jemaah haji Malaysia sebanyak 31,600 orang. TH merakamkan penghargaan kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi atas kerjasama yang diberikan.

“Penetapan lebih awal memberi ruang kepada bakal jemaah membuat persediaan kewangan, kesihatan dan ilmu dengan lebih teratur.

“Pada masa sama, ia menyokong usaha TH membudayakan konsep istito’ah supaya persediaan menunaikan haji bermula jauh lebih awal daripada tarikh menerima tawaran,” katanya.

TH berkata, pihaknya akan terus mengutamakan penyampaian perkhidmatan berkualiti tinggi menerusi penambahbaikan berterusan, selaras dengan pengiktirafan Diamond Labaytum Award yang diterima untuk dua tahun berturut-turut.

Pengiktirafan itu merangkumi aspek kecemerlangan operasi, kebajikan jemaah, bimbingan haji, perkhidmatan kesihatan, logistik, inovasi digital dan keseluruhan pengalaman jemaah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, hampir 90 peratus daripada Kos Haji berkaitan penginapan, penerbangan dan perkhidmatan di Tanah Suci.

“TH berjaya mengekalkan Kos Haji dengan mengekang kenaikan kos penerbangan melalui kontrak jangka panjang selama lima tahun bagi mengawal risiko ketidaktentuan harga demi kepentingan jemaah.

“Cabaran besar kini adalah peningkatan harga dan kos pembekalan minyak susulan konflik Timur Tengah,” katanya.

Beliau berkata, TH turut berjaya menurunkan kos penyewaan hotel baharu yang lebih berkualiti menerusi rundingan secara terus.

Langkah itu, katanya, membantu mengekang kesan peningkatan inflasi serta kos perkhidmatan dan kemudahan baharu di Tanah Suci.

“Pencapaian ini penting bagi TH kerana ia bukan sekadar soal mengekalkan angka, tetapi bagaimana kita merancang lebih awal, mengurus risiko dan menggunakan kecekapan operasi TH untuk memberikan nilai terbaik kepada jemaah,” katanya.

Surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah akan dikeluarkan secara berperingkat mulai 21 September 2026.

Bakal haji diingatkan memastikan simpanan di TH sekurang-kurangnya RM15,000 bagi melayakkan diri menerima surat tawaran haji, selain perlu lulus pemeriksaan kesihatan.

TH juga akan mula menganjurkan Kursus Asas Haji di lebih 200 masjid di seluruh negara mulai 25 September 2026 bagi membantu bakal jemaah membuat persediaan ilmu.

Bakal haji turut dinasihatkan mengemas kini maklumat peribadi dan membuat semakan giliran melalui THiJARI atau cawangan TH terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here