Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bercakap kepada media selepas Taklimat Presiden UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan berharap isu dokumen Surat Cara Proklamasi menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dapat diselesaikan dengan segera.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau tidak mendapat maklumat jelas mengenai isu tersebut kerana bukan lagi anggota pentadbiran dalam Kerajaan Negeri Sembilan.

“Saya sebagai Ketua UMNO Negeri mengharapkan supaya penyelesaian ini dapat dilakukan dengan kadar segera.

“Saya tidak tahu kerana bukan lagi dalam sistem anggota pentadbiran negeri, jadi kita dapat tahu hanya daripada laporan media dan apa yang telah semua maklum dalam satu dua hari ini.

“Apa dikemuka oleh Menteri Besar, itulah dia kot, apa yang dikeluarkan dan apa yang dikatakan Menteri Besar, saya tiada komen,” katanya ketika ditemui media selepas Perasmian Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Hari ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan beliau menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tanpa rela dan secara paksaan.

Sehubungan itu katanya, laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat petang semalam bagi membolehkan pihak berkuasa.menjalankan siasatan lanjut.

“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah memaklumkan proklamasi menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang ditandatangani Ismail pada 3 Ogos 2026 di Port Dickson, dalam Luak Sungei Ujong adalah tidak sah dan tidak boleh berkuatkuasa.

Jelas beliau, Sidang Dewan Keadilan dan Undang pada 31 Julai 2026 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah memuktamadkan pengisytiharan 19 April 2026 itu tiada kesan undang-undang dan tidak boleh diguna pakai kerana tidak memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here