TEMERLOH – Seorang kanak-kanak warganegara Indonesia maut selepas motosikal dinaiki bersama bapanya terbabit kemalangan di kilometer 2, Jalan Temerloh-Mentakab di sini semalam.
Ketika kejadian, motosikal dinaiki dua beranak itu dalam perjalanan menuju ke arah Bandar Mentakab.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 2.27 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati, bapa mangsa yang merupakan pemastautin tetap berasal dari Indonesia hilang kawalan terhadap motosikal yang ditunggangnya terbabas selepas melanggar penghadang batu di tengah jalan.
“Kejadian mengakibatkan dia dan anaknya itu terjatuh ke laluan bertentangan. Pada masa sama, sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu seorang wanita berusia 21 tahun yang berada di laluan tersebut tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasyim berkata, mangsa, Nur Yuuna Aqilah, 9 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya mengalami kecederaan ringan.
Bagaimanapun lelaki itu kemudian dikejarkan ke Zon Merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHAS) setelah mengalami serangan jantung.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















