CYBERJAYA – Menerusi Akademi Bahas Madani, sebanyak lima buah sekolah penggerak mengikut zon akan menerima peruntukan RM5,000 bagi memperkukuh pembangunan bakat bahas, selain menyediakan latihan dan pemantauan secara berterusan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ia merupakan inisiatif untuk terus menggilap bakat bahas dalam kalangan pelakar.
“Akademi Bahas Madani ini akan menjadi sebahagian besar daripada inisiatif kita untuk terus memperkukuh budaya debat dalam kalangan anak-anak kita, khususnya di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
“Ada coaching, ada pemantauan oleh SBP dan juga untuk latih bakat-bakat baharu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke-51 Tahun 2026 di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia, hari ini.
Menurut beliau, lima sekolah penggerak yang terlibat ialah Sekolah Sultan Alam Shah, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Sekolah Menengah Sains Muar, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam dan Sekolah Menengah Sains Sabah.
Fadhlina berkata, dalam masa yang sama inisiatif itu turut memberi ruang kepada sekolah yang sebelum ini kurang mendapat perhatian dalam arena bahas untuk kembali menyerlah di peringkat pertandingan.
Sebagai rekod, Akademi bahas Madani ditubuhkan pada sebagai platform latihan kemahiran berbahasa dan berhujah di semua Berasrama Penuh (SBP) secara berperingkat.
Antara objektifnya adalah memperkukuh kemahiran berbahasa dan pengucapan awam dalam kalangan pelajar yang bakal menyertai Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri.-MalaysiaGazette
















