Ketua Wanita UMNO Bahagian Nibong Tebal, Siti Hawa Mohamad Nordin

KUALA LUMPUR –  Sasaran 30 peratus calon wanita tidak seharusnya terus menjadi janji yang hanya disebut menjelang pilihan raya sebaliknya perlu dijamin melalui Perlembagaan UMNO.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Nibong Tebal, Siti Hawa Mohamad Nordin berkata, pengalaman Pilihan Raya Umum Ke-15 membuktikan sasaran tanpa mekanisme penguatkuasaan sukar diterjemahkan apabila hanya sekitar 13.4 peratus calon UMNO ketika itu terdiri daripada wanita.

Beliau berkata, pindaan perlembagaan parti perlu dibuat bagi menetapkan minimum 30 peratus calon wanita untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, termasuk di kawasan yang mempunyai potensi kemenangan.

“Kalau sasaran 30 peratus hanya tinggal sasaran, kita akan terus bercakap perkara yang sama setiap kali pilihan raya. Kita perlukan jaminan dan mekanisme,” katanya ketika menyokong usul pada Perhimpunan Wanita UMNO hari ini.

Menurut Siti Hawa, wanita juga tidak boleh diberikan kerusi yang sukar dimenangi semata-mata bagi memenuhi angka kerana pendekatan itu tidak akan menghasilkan peningkatan sebenar dalam perwakilan wanita di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata, tuntutan itu semakin relevan apabila wanita membentuk 50.3 peratus daripada pengundi berdaftar, selain menguasai sebahagian besar graduan institusi pengajian tinggi serta tenaga akademik.

Namun jumlah wanita dalam Dewan Rakyat masih sekitar 13.6 peratus, manakala perwakilan di Dewan Undangan Negeri pula kira-kira 12 peratus, menunjukkan jurang besar antara kekuatan wanita sebagai pengundi dengan kedudukan mereka sebagai pembuat keputusan.

Siti Hawa turut menegaskan wanita tidak boleh hanya menjadi ‘jentera pilihan raya’ yang digerakkan untuk mencari undi dan memenangkan calon, tetapi diketepikan apabila tiba masa menentukan hala tuju parti.

Dalam isu kerjasama politik pula, beliau berpandangan, UMNO tidak boleh menggunakan satu formula untuk semua negeri kerana realiti politik, demografi, kekuatan parti dan corak pengundian berbeza mengikut kawasan.

Katanya, pimpinan pusat perlu menetapkan prinsip serta garis merah parti, manakala pimpinan negeri diberi ruang mengemukakan formula kerjasama berdasarkan keadaan setempat dan kekuatan sebenar.

Bagi Pulau Pinang, beliau mengingatkan UMNO supaya memperkukuh daya runding dengan membina sokongan sendiri menerusi isu rakyat seperti nelayan, penjaja, perumahan anak muda dan peluang pekerjaan bukan sekadar bergantung kepada rundingan pembahagian kerusi.

Bagaimanapun, katanya, jika strategi kerjasama boleh berubah mengikut negeri dan keadaan politik, prinsip keadilan dalam perwakilan wanita tidak sepatutnya menjadi perkara yang boleh dikompromi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here