Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya gesaan terbaharu rejim Zionis Israel untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari Semenanjung Gaza, termasuk tindakan keganasan terhadap rakyat Palestin oleh pendatang haram Israel di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur.

“Malaysia menolak sebarang cubaan untuk memindahkan secara paksa atau menempatkan semula rakyat Palestin dari tanah air mereka.

“Pembunuhan, ugutan, pemusnahan harta benda dan pemindahan secara paksa rakyat Palestin oleh pendatang haram Israel, yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya adalah tindakan keji yang merupakan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

Kementerian berkata tindakan sedemikian terus mengukuhkan pendudukan, memperluas penempatan haram Zionis secara sistematik serta merampas tanah milik rakyat Palestin.

Malaysia menegaskan bahawa Semenanjung Gaza merupakan sebahagian daripada Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT) dan menolak sebarang usaha untuk mengubah komposisi demografi atau geografinya.

“Malaysia juga menolak usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki melalui peluasan penempatan dan keganasan pendatang haram,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan pencabulan dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan serta melindungi rakyat Palestin.

Malaysia menegaskan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin untuk terus kekal di tanah mereka dan untuk menubuhkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, menurut kementerian.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here