GEORGE TOWN – Polis menahan seorang pengasuh wanita dan ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 bulan bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak berkenaan.
Pengasuh berkenaan berusia 44 tahun, manakala ibu mangsa yang juga wanita warga Indonesia berusia 29 tahun.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes pengabaian kanak-kanak mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Pengasuh berkenaan direman tujuh hari bermula semalam hingga 15 September ini, manakala ibu mangsa direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas kejadian itu, Abdul Rozak berkata, kanak-kanak Sabah berkenaan ditemukan tidak sedarkan diri dengan bibir kelihatan kebiruan ketika berada di rumah pengasuhnya di Kampung Melayu, Ayer Itam kira-kira jam 2 petang, pada Selasa lalu.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh ibu dan pengasuhnya pada jam 2.45 petang.
“Bagaimanapun, kematian mangsa disahkan pada jam 3.33 petang selepas rawatan kecemasan diberikan.
“Susulan itu, bedah siasat dijalankan semalam, namun punca kematian masih belum dapat dipastikan dan menunggu keputusan analisis makmal,” katanya.
MalaysiaGazette difahamkan, mangsa dihantar ke rumah pengasuh berkenaan oleh ibu bapanya sejak berusia empat bulan.
Selain itu, tiada kesan penderaan fizikal dikesan pakar forensik. – MalaysiaGazette
















