JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia sedang memperkukuh kesiapsiagaan tsunami di kawasan pantai wilayah Lampung di sepanjang Selat Sunda menghadap Anak Krakatau ketika gunung berapi itu kini berada pada tahap amaran III iaitu peringkat berjaga-jaga kedua tertinggi.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB) Berton Panjaitan berkata langkah itu termasuk persediaan untuk pelan kontingensi tsunami di Lampung Selatan, di bahagian Selat Sunda di sebelah Sumatera, yang memisahkan pulau itu dengan Jawa.
“Kerajaan wilayah Lampung telah mengarahkan agensi pengurusan bencana di seluruh wilayah untuk memastikan laluan pemindahan disediakan dan siren amaran awal tsunami berfungsi dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Berton berkata pasukan BNPB juga telah memeriksa laluan pemindahan, tempat perhimpunan dan sistem amaran awal tsunami di komuniti pantai di Lampung Selatan serta berkoordinasi dengan pos pemerhatian Anak Krakatau.
Dalam kemas kini berasingan pada sidang media dalam talian pada Khamis, Berton berkata imej satelit menunjukkan penyebaran abu gunung berapi dari Anak Krakatau tidak lagi dikesan setakat 1 tengah hari waktu tempatan.
Gunung berapi itu kekal pada Tahap III iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran empat peringkat Indonesia, dengan pihak berkuasa mengekalkan zon pengecualian tiga kilometer di sekitar kawah aktifnya.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan Widyawati berkata sebanyak 68,919 kes kumulatif jangkitan pernafasan akut telah direkodkan di 23 kabupaten dan bandar di Lampung, Banten, Jakarta dan Jawa Barat terjejas akibat abu gunung berapi Anak Krakatau.
Daripada jumlah itu, 14,439 kes membabitkan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah manakala 54,480 di atas lima tahun, dengan 830 pusat kesihatan masyarakat dan 413 hospital ditempatkan dalam keadaan bersiap sedia di kawasan terjejas.
Beliau berkata bekalan kesihatan termasuk topeng, cermin mata pelindung, ubat titis mata, alat sedut dan ubat-ubatan telah diedarkan, manakala penduduk dinasihatkan supaya memakai topeng dan mengelakkan aktiviti luar yang tidak perlu. – BERNAMA
















