KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu disegerakan kerana rakyat dikatakan semakin merindui kepimpinan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata, perkembangan politik di Negeri Sembilan dan Johor memberi keyakinan bahawa sokongan terhadap BN masih mempunyai ruang untuk kembali mengukuh.
“Justeru, telah tiba masanya PRU16 perlu segera diadakan. Ini bukan desakan, ini bukan harapan. Cukup-cukuplah. Bagi peluang kami pula,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, keputusan di Negeri Sembilan dan Johor menunjukkan pengundi masih memberikan kepercayaan kepada BN apabila parti itu menawarkan pendekatan yang sesuai dengan keadaan setempat.
Beliau berkata pengalaman di kedua-dua negeri itu perlu dijadikan pencetus keyakinan kepada UMNO BN untuk menghadapi PRU16.
Ahmad Zahid turut menyeru perwakilan supaya tidak gentar menghadapi persaingan politik, sebaliknya bersedia untuk berjuang sehingga memperoleh mandat yang diharapkan.
“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang kita dah berlawan… kita lawan,” katanya.
Seruan itu disampaikan ketika UMNO mahu menjadikan PRU16 sebagai detik penentuan untuk mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan negara. -MalaysiaGazette















