KUALA KUMPUR – Barisan Nasional (BN) Pahang mengakui sedang menerokai jajaran politik baharu yang sesuai untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRU16).
Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat tiga cadangan dikemukakan iaitu sama ada kerjasama BN-Perikatan Nasional (PN), BN-Pakatan Harapan (PH) atau pun BN bergerak secara solo.
Pengerusi BN Pahang itu berkata, UMNO telah mengadakan tiga kali pemukiman dengan kepimpinan parti negeri seperti Ketua Bahagian untuk mendapatkan gambaran jajaran politik sebenarnya.
“Walaupun ada tiga pilihan, Presiden (UMNO) beritahu negeri buat, tetapi jangan buat keputusan. Jadi kami buat untuk dapat cadangan. Apakah di Pahang ini, BN bersama dengan PH, BN dengan PN atau BN bergerak solo.
“Yang menarik daripada ketiga-tiga cadangan tersebut, semua BN boleh menang. Itu yang pelik cuma, hendak selesa cuci tangan dengan PN, kalau dengan PH hilang 15 peratus undi Melayu tetapi masih boleh menang, kalau BN solo masih boleh menang tipis tetapi risiko sangat tinggi.
“Setakat hari ini masih lagi dalam perbincangan dan insya-Allah apabila semua maklumat diperolehi, saya dan rakan-rakan akan mengadap presiden untuk berbincang lebih lanjut membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Wan Rosdy menambah, BN Pahang akan menentukan jajarannya yang sesuai dengan demografi politik di negeri itu demi kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan.
“Kami tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. ‘Biar lambat asalkan selamat’ kerana yang kita pertaruhkan bukan kepentingan satu pihak, tetapi masa depan negeri dan rakyat Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette
















