KUALA LUMPUR – “Saya tak pernah perlu belajar dengan dia.”
Demikian sindiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada hubungan politiknya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan kiasan ‘guru dan anak murid’ yang sebelum ini digunakan dalam menggambarkan hubungan kedua-dua pemimpin.
Ahmad Zahid berkata, seseorang yang sudah mempunyai kemampuan dan pengalaman tidak semestinya perlu terus bergantung kepada seorang guru.
“Anak murid pandai tak perlu guru pun,” katanya.
Sindiran itu dilontarkan ketika Ahmad Zahid menyentuh mengenai pendirian dan hala tuju UMNO yang menurutnya mempunyai identiti, prinsip serta kekuatan sendiri.
Sebelum ini pada Ucapan Dasar Presiden pada PAU 2026 semalam, Zahid menyindir seorang individu yang didakwanya enggan mendengar keluhan dan kebimbangan rakyat.
Merujuk individu yang tidak dinamakan itu sebagai “guru”, Zahid ketika menggariskan Agenda Malaysia Biru, menyorot impak dasar-dasar ekonomi terhadap rakyat marhaen.
Beliau turut menggesa golongan muda supaya berkeyakinan dalam mengemukakan idea mereka, dengan menggunakan frasa “slay” dan “flex” dalam satu hantaran di media sosial.
Perkara itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyindir secara halus Ahmad Zahid dengan menggunakan rujukan “guru” dan “slay” yang pernah digunakan oleh Presiden UMNO itu dalam kenyataan terbarunya.
Anwar, yang tiba di New Delhi bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS Ke-18, menggunakan kedua-dua istilah berkenaan dalam satu hantaran di Facebook bagi mengemas kini maklumat kepada rakyat Malaysia mengenai misi diplomatiknya.
“Alhamdulillah, guru telah selamat tiba di New Delhi, India bagi membawa nama negara ke persada dunia di Sidang Kemuncak BRICS Ke-18.
“Doakan misi diplomatik ini mencapai objektifnya. Semoga para anak murid dapat belajar daripada guru bagaimana diplomasi Madani dipraktikkan. Slayyy,” katanya. – MalaysiaGazette
















