KUALA LUMPUR – Sebanyak 235 kompaun dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap pemilik motosikal menerusi 50 operasi penguatkuasaan berkaitan bunyi bising dan pelepasan gas motosikal sepanjang tahun ini.
Pengarah JAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pemilik motosikal mematuhi peraturan alam sekitar yang ditetapkan.
“Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ini akan dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan pematuhan kepada peraturan sedia ada, sekali gus menjamin kualiti udara yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terbaharu, JAS WPKL mengeluarkan enam kompaun terhadap pemilik motosikal yang gagal ujian bunyi bising dan pelepasan gas dalam operasi penguatkuasaan di Kuala Lumpur, semalam.
Sharifah Zakiah berkata, sebanyak 50 motosikal diperiksa dalam operasi berkenaan, dengan enam daripadanya dikenakan tindakan kompaun.
“Dalam operasi tersebut, sebanyak 50 buah motosikal telah diperiksa, dan enam motosikal dikenakan tindakan kompaun di bawah kesalahan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003,” katanya.
Operasi Penguatkuasaan Bunyi Bising Motosikal dan Pelepasan Gas Motosikal itu dijalankan bersama Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur dan JPJ Kuala Lumpur.
JAS WPKL berkata, tindakan penguatkuasaan berkenaan penting bagi membendung pencemaran udara dan bunyi yang berpunca daripada motosikal, selain meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan alam sekitar.
Pemilik motosikal turut diingatkan supaya memastikan kenderaan masing-masing mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan pencemaran udara dan bunyi yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar.
Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan kerjasama PDRM dan JPJ bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar terus dipertingkatkan.- MalaysiaGazette
















