KUALA LUMPUR – Tampil dengan satu kemenangan peringkat tahun lalu, pasukan ProTeam Perancis, Unibet Rose Rockets dilihat mampu lebih menggegar pada edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang akan bermula 27 September ini.
Ia kerana, barisan enam pelumba yang disertai pengurus Joram Grootveld kali ini, membabitkan empat pendaki berkebolehan dan dua pakar pecut, sekaligus memberi gambaran sasaran lebih besar berbanding satu kemenangan peringkat diraih Zeb Kyffin pada Peringkat 7, tahun lalu.
Mengetuai cabaran Unibet yang berada di tangga kedua keseluruhan tahun lalu, ialah pelumba berusia 24 tahun Norway, Cedrik Bakke Christophersen yang menduduki tangga kelima keseluruhan LTdL25, dan pelumba kelahiran Belanda berusia 25 tahun, Owen Geleijn yang berada di tangga ke-22.
Pengalaman berkayuh di LTdL25 itu pasti akan dipikul bersama pelumba Jerman berusia 25 tahun, Peter Jannis dan pelumba Norway berusia 23 tahun, Eivend Broholt Fougner, terutama di laluan mendaki.
Dua pakar pecut yang mampu membuat kejutan di laluan landai adalah pelumba Ireland berusia 31 tahun, Rory Townsend; dan pelumba muda Perancis berusia 22 tahun, Ronan Auge.
Namun agak menarik dan tidak mustahil perubahan saat-saat akhir akan berlaku kerana pasukan berpangkalan di Zwolle dan dikenali sebagai Unibet Tietema Rockets tahun lalu itu, turut menyenaraikan pelumba handalan berusia 38 tahun yang pernah mengecap kemenangan peringkat Grand Tour di Tour de France 2023 dan Vuelta a Espana 2023, Wout Poels; selain seorang lagi pendaki handalan dari Czech, Adam Toupalik.
Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, senarai nama yang dilampirkan Unibet kali ini tampak lebih cenderung untuk menguasai tiga peringkat pendakian ke puncak di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.
“Pasukan ini pasti membuat ‘kerja rumah’ lebih awal sebelum memutuskan siapa pelumba yang mahu dihantar ke LTdL26 ini kerana ia berbeza dengan hanya satu pendakian agak mudah ke Bukit Fraser pada tahun lalu.
“Nama Wout Poels dalam senarai pelumba simpanan itu mengesahkan mereka serius untuk mencipta impak lebih besar kali ini kerana Poels yang berpengalaman bersama pasukan WorldTeam Vacansoleil sejak 2011, sebelum menyertai Sky, Bahrain Merida dan Astana serta mengumpul 26 kemenangan dalam kariernya adalah nama besar dan disegani di pentas antarabangsa.
“Bukan sesuatu yang mengejutkan jika Unibet memutuskan untuk menyenaraikan Poels pada saat-saat akhir selepas melihat bentuk laluan kali ini serta nama pencabar-pencabar pasukan lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Christophersen yang hanya 11 saat di belakang pemenang LTdL25, Joris Delbove (TotalEnergies), turut dilihat berada pada prestasi terbaik terutama selepas mencipta satu kemenangan peringkat di Arctic Race of Norway bulan lalu dan berada di tangga kelapan keseluruhan.
Selain Christophersen, sasaran klasifikasi keseluruhan (GC) juga boleh disandarkan kepada Fougner yang tampak cergas selepas menduduki tangga ke-14 keseluruhan di Tour of Sibiu dan kedua dalam senarai Raja Bukit Tou del’Ain pada Julai lalu.
Jannis yang menyertai Unibet tahun ini pula mencatat keputusan baik tangga kelapan Tour of Sibiu tahun ini dan diharap dapat membawa pengalamannya bersama pasukan Vorarlberg yang menang peringkat di Tour of Czech dan Oberosterreich tahun lalu.
Selain menjadi pembantu pada awal pendakian, bekas pelumba Q36.5, Townsend dan Auge, yang mencipta kemenangan peringkat di La Route d’Occitanie Jun lalu, dilihat mampu menyaingi pakar pecut pasukan lain pada penamat landai.
LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries akan bermula dengan Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar pada 27 September ini, dan berakhir dengan Peringkat 8, Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,285.5km.
Edisi ke-30 LTdL26 ini dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). – MalaysiaGazette
















