KUALA LUMPUR – Akses perkhidmatan kesihatan kepada kira-kira 14,830 penduduk di 85 lokaliti pedalaman Sarawak akan terus dipastikan susulan penangguhan sementara operasi Flying Doctor Service (FDS).
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, penangguhan itu membabitkan tujuh pasukan FDS yang selama ini memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan sukar diakses terutama lokaliti yang bergantung kepada pengangkutan udara untuk mendapatkan rawatan.
KKM berkata, pihaknya kini mengaktifkan strategi serampang dua mata bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan dilaksanakan secara sistematik dan berfasa, tanpa mengabaikan aspek keselamatan petugas serta pesakit.
“Walaupun keselamatan dan kebajikan petugas kesihatan kekal menjadi keutamaan mutlak, KKM memberi jaminan bahawa kesan penangguhan ini akan diminimumkan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, KKM sedang menilai semula program perkhidmatan kesihatan ke setiap lokaliti berdasarkan tahap kebolehcapaian dan keadaan setempat.
Kementerian itu turut memaksimumkan penggunaan pengangkutan alternatif melalui jalan darat dan air bagi memastikan rawatan kepada penduduk dapat diteruskan.
Bagaimanapun, kaedah alternatif berkenaan hanya akan dilaksanakan selepas penilaian risiko menyeluruh dibuat, termasuk keadaan laluan, tempoh perjalanan, faktor cuaca dan kesesuaian kenderaan bagi menjamin keselamatan petugas.
Bagi lokaliti yang berdepan kekangan geografi dan infrastruktur lebih ekstrem, KKM turut melaksanakan penyelarasan logistik khusus termasuk persediaan bagi keperluan pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC).
Antaranya kawasan Pa Tik yang memerlukan perjalanan berjalan kaki sehingga dua hari dari Klinik Kesihatan Bario.
Turut terjejas ialah Ba Itam, Ba Abang dan Long Tebangan yang memerlukan perjalanan antara empat hingga 10 jam dari Klinik Kesihatan Long Bedian berikutan laluan terputus serta keadaan jambatan runtuh.
“Bagi kawasan berisiko tinggi ini serta untuk keperluan pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC), KKM akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini,” katanya.
Tambah KKM, tempoh penangguhan operasi FDS bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan rasmi pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan.
Pada masa sama, KKM menegaskan, kebajikan semua petugas kesihatan yang terbabit dalam pasukan FDS terus dilindungi berdasarkan peraturan dan polisi yang terpakai kepada penjawat awam.
Kementerian turut menjalankan audit menyeluruh dengan meneliti semula pemetaan lokasi perkhidmatan, tahap pematuhan standard syarikat pengendali serta keperluan sokongan psikososial kepada petugas.
“Operasi ini hanya akan disambung semula setelah KKM berpuas hati secara mutlak bahawa keupayaan operasi dan sistem penyampaian ini benar-benar selamat,” katanya. -MalaysiaGazette
















