ISKANDAR PUTERI – Sistem konsesi dan kaedah pemberian kerja ketika ini didakwa menjejaskan peluang kontraktor Bumiputera di Johor untuk memperoleh projek infrastruktur asas selain berdepan isu harga tidak munasabah dan pembayaran yang mengambil tempoh lama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, keadaan itu memberi tekanan kepada kontraktor kerana mereka perlu menanggung kos pekerja serta perbelanjaan terdahulu sebelum menerima bayaran yang mengambil masa sehingga enam hingga tujuh bulan.
“Kerja-kerja infrastruktur asas ini, harga yang diberikan sekarang tidak munasabah berbanding dahulu ketika tiada konsesi. Dulu margin keuntungan lebih tinggi tetapi sekarang sekadar cukup makan.
“Apabila bayaran pula lambat sehingga enam atau tujuh bulan, ia menjadi masalah kepada kontraktor untuk membiayai pekerja dan menanggung kos terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-29 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Johor di sini hari ini
Pandak berkata, kerajaan negeri wajar mempertimbangkan kaedah cabutan undi bagi pemberian kerja tertentu bagi memastikan lebih ramai kontraktor berdaftar mendapat peluang secara adil.
Katanya, kaedah itu sudah dilaksanakan oleh sesetengah pejabat daerah dan dapat mengurangkan kekecewaan kontraktor yang tidak memperoleh kerja melalui proses tender.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu meneliti semula sistem tender terbuka bagi mengelak keadaan apabila sesebuah pihak menggunakan beberapa syarikat untuk mengemukakan tawaran harga yang dilihat munasabah.
“Kalau melalui tender terbuka, kadang-kadang ada pihak yang boleh memonopoli harga dengan menyediakan tiga syarikat dan mengemukakan harga yang munasabah.
“Kalau kerja dikeluarkan pejabat daerah melalui cabutan undi, kontraktor sekurang-kurangnya mempunyai peluang,” katanya.
Pandak turut mencadangkan kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus kerja kepada kontraktor bumiputera atau kontraktor tempatan berdaftar, khususnya kerja kurang teknikal seperti pembinaan pagar, tembok, jalan dan longkang.
Ujarnya, kontraktor bumiputera tempatan mempunyai kepakaran melaksanakan kerja berkenaan dan sewajarnya diberi ruang untuk mengambil bahagian dalam pembangunan pesat di Johor, termasuk projek pusat data.
Tambahnya, pembangunan pesat negeri ini perlu turut memberi manfaat kepada kontraktor tempatan supaya mereka tidak terpinggir daripada peluang ekonomi yang diwujudkan.- MalaysiaGazette
















